Pages

Friday, April 27, 2012

Gilani hina mahkamah

Berita Harian Online | Gilani hina mahkamah:
Perdana Menteri Pakistan boleh dipecat daripada tugas 

ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan, Yousuf Raza Gilani, semalam disabitkan atas dakwaan menghina mahkamah oleh mahkamah tertinggi negara itu namun hanya diberi ‘hukuman simbolik’ meskipun keputusan itu boleh membawa kepada pemecatannya.
Hakim mahkamah agung mendapati Gilani menghina mahkamah kerana enggan mematuhi arahan supaya mengutus surat kepada pihak berkuasa di Switzerland meminta mereka membuka semula kes rasuah ke atas Presiden Asif Ali Zardari.
Gilani berdepan hukuman maksimum penjara enam bulan, namun mahkamah mengarahkannya ‘dipenjara sepanjang sesi perbicaraan’ dan beliau keluar sejurus selepas itu dengan tersenyum lebar dan melambai ke arah penyokong. 

Persoalannya ialah sama ada Gilani- Perdana Menteri paling lama berkhidmat di Pakistan akan dipecat daripada jawatannya yang akan menambah kepada ketidakstabilan politik di sebuah negara dilanda keganasan al-Qaeda dan Taliban. 

Mengikut Perlembagaan Pakistan, sesiapa yang disabitkan menghina atau memperlekehkan sistem perundangan tidak boleh menjadi ahli parlimen (MP), namun pakar perundangan berkata proses memecat Gilani mungkin lama kerana membabitkan Speaker Parlimen dan Suruhanjaya Pilihan Raya. 

“Gilani didapati bersalah dan disabitkan kerana menghina mahkamah,” kata Nasir ul Mulk, ketua sidang tujuh hakim Mahkamah Tinggi. 
Hakim berkata, Gilani berkemungkinan menyebabkan perundangan negara dipandang rendah. 

Sabitan itu ada kemungkinan memberi akibat serius kepada Gilani mengikut seksyen perlembagaan mengenai kehilangan kelayakan sebagai MP, kata Mulk sambil memberitahu perkara itu diambil kira sebagai faktor meringankan hukuman. 

“Justeru, beliau dihukum mengikut seksyen lima ordinan menghina mahkamah dengan dikenakan hukuman penjara sehingga mahkamah selesai bersidang,” kata hakim. 

Kes itu didakwa bermotif politik dengan anggota kerajaan menuduh hakim melangkaui bidang kuasa dan cuba menggulingkan Perdana Menteri serta Presiden, setahun sebelum pentadbiran mereka melengkapkan satu penggal pemerintahan. 

Menteri Kabinet Firdous Ashiq Awan daripada Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinan Gilani, memberitahu media di luar mahkamah perdana menteri akan melancarkan rayuan. 

“Hari ini adalah satu lagi detik hitam bagi Pakistan. Demokrasi sekali lagi diserang,” katanya. 

Dakwaan rasuah ke atas Zardari bermula sejak 1990-an lagi apabila beliau dan isterinya yang juga bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto, disyaki menggunakan akaun bank Switzerland untuk memindahkan AS$12 juta (RM36.63 juta) yang didakwa dibayar oleh syarikat yang mahu mendapatkan kontrak pemeriksaan kastam. – AFP

No comments: