|
KABUL - Pergerakan Taliban melancarkan satu siri serangan termasuk di ibu kota Afghanistan di sini semalam.
Serangan itu melibatkan pangkalan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), bangunan parlimen dan kedutaan Barat.
Taliban turut melancarkan serangan di tiga buah lagi bandar.
Seramai dua anggota Taliban terbunuh dan lima lagi cedera di sini.
Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid mengaku pergerakannya bertanggungjawab melakukan serangan itu.
Menurutnya dalam satu kenyataan, sejumlah pengebom berani mati menyerang Kabul dan tiga buah wilayah lagi iaitu Paktia, Nangarhar dan Logar.
Serangan itu bermula pada waktu tengah hari dengan letupan berlaku di kawasan kejiranan Wazir Akbar Khan yang menempatkan sebuah pangkalan NATO dan sejumlah kedutaan termasuk pejabat kedutaan Amerika Syarikat (AS).
Bunyi tembakan kedengaran sejurus selepas serangan menyebabkan sejumlah orang di jalan raya mencari tempat berlindung.
Lebih 10 letupan bergema di Kabul.
Asap menjulang tinggi semasa siren bergema.
Dalam satu kenyataan e-mel, Zabuillah berkata, serangan itu menjadikan ibu pejabat NATO sebagai sasaran.
Dia menyatakan turut menjadi sasaran serangan ialah kedutaan Britain dan Jerman, Hotel Kabul Star dan lokasi di tepi jalan Darulaman yang menempatkan kedutaan Rusia.
Menurutnya, pada masa yang sama, para militan melancarkan serangan kemudahan NATO dan Afghanistan di bandar wilayah Nangarhar, Logar dan Paktia.
"Dalam serangan itu, puluhan ribu mujahidin dilengkapi dengan senjata berat dan ringan, baju untuk pengebom berani mati, roket, bom pelancar roket dan bom tangan menyerang sasaran mereka," katanya.
Dia yang memberitahu agensi berita AP menerusi telefon menyatakan bahawa kumpulan tersebut telah merancang untuk melakukan serangan tersebut sejak dua bulan lalu.
Menurutnya, serangan itu dilakukan bagi menunjukkan kekuatan Taliban selepas NATO menggerakkan kumpulan tersebut telah lemah.
"Kami kuat dan kami boleh menyerang di mana-mana sahaja yang kami mahu," katanya.
Para militan juga melancarkan serangan mortar di sebuah kawasan di sekitar sebuah pangkalan NATO di sebatang jalan raya di Jalalabad di pinggir Kabul.
Kementerian Luar Jerman menyatakan terdapat kerosakan di kedutaan itu tetapi ia dianggap tidak melibatkan kecederaan dan kematian.
Kedutaan AS menyatakan dalam satu kenyataan bahawa terdapat serangan di pekarangan kedutaan tersebut.
Seorang wakil rakyat, Mohammad Nahim Lalai Hamidzai dari Kandahar menyatakan dia memanjat sebuah menara bangunan parlimen dan melepaskan tembakan ke arah anggota-anggota Taliban.
"Saya melepaskan 400 hingga 500 butir peluru dari senapang Kalashni-kov milik saya," katanya. - Agensi
No comments:
Post a Comment