Pages

Wednesday, April 4, 2012

Bashar terus mengganas


DAMSYIK: Pertempuran sengit tercetus semalam selepas rejim Syria menghantar pasukan tambahan ke kawasan dikuasai pemberontak.
Pada masa sama, Barat cuba memberi amaran kepada Damsyik bahawa PBB akan bertindak kecuali mereka patuh kepada perjanjian menarik balik pasukan keselamatan dari kawasan berkenaan.

Keganasan terbaru semalam berlaku ketika ketua Palang Merah, Jakob Kellenberger, berada di Syria dalam misi terbaru dan ketiga sejak tahun lalu.
Beberapa kumpulan pemantau melaporkan, pertempuran sengit tercetus di kubu kuat pemberontak di selatan wilayah Daraa, barat laut Idlib dan beberapa kawasan sekitar Damsyik.

Puluhan kereta perisai dan pengangkut tentera tiba di Dael, Daraa bandar yang memulakan kebangkitan rakyat menentang Presiden Bashar al-Assad pada Mac tahun lalu. Turut disasarkan, Zabadani, satu daripada kubu pemberontak yang terletak berhampiran sempadan Lubnan.

Aktivis di Dael, Sayyed Mahmud, berkata keadaan semasa di situ sangat tegang.
Katanya, tentera kerajaan membakar 14 rumah kelmarin, selain menahan ramai orang serta meningkatkan bilangan pasukan keselamatan.

“Sebagai sebahagian daripada cara rejim memotong bekalan makanan orang ramai, tentera menyerbu kediaman dan memusnahkan simpanan harian serta peralatan yang berkaitan.
“Sebagai contoh, jika mereka melihat ada mesin jahit, ia akan dimusnahkan,” katanya.

Tentera Bashar juga dilaporkan memusnahkan roti ketika bekalan elektrik dipotong 15 jam sehari.

Di Idlib yang bersempadan dengan Turki, pertempuran masih berlangsung di pinggir Taftanaz dan menyebabkan dua orang awam serta seorang tentera maut.

Sumber berkata, empat orang awam cedera, manakala sejumlah rumah musnah dibakar.

“Pemberontak berjaya merosakkan sebuah pengangkut tentera dan membunuh atau mencederakan beberapa anggota keselamatan,” katanya. - AFP

No comments: