KUALA LUMPUR 3 April - Jutawan dan pengasas kosmetik Aura Seri, Ira Ghani dan suaminya yang juga pakar motivasi, Datuk Ibrahim Ahmad kerugian hampir RM500,000 setelah wang tunai dan pelbagai barangan berharga dilarikan dua amah mereka, kelmarin.
Kejadian dipercayai berlaku pada awal pagi ketika pasangan suami isteri itu berada di Singapura atas urusan perniagaan.
Perkara itu hanya diketahui apabila mendengar pesanan suara daripada anak sulung mereka, Mohd. Danish Irfan, 13, menerusi telefon bimbit kira-kira pukul 2.30 petang.
Menurut Ira, anaknya memaklumkan kedua-dua amah mereka iaitu Luluk Tanjiyah, 33, dan Udayati, 40-an, hilang bersama dua unit iPad dan telefon pintar iPhone.
"Namun setelah sampai ke rumah semalam, saya dapati banyak lagi barang berharga dilarikan," katanya pada sidang akhbar di rumahnya di Medan Idaman Gombak di sini hari ini.
Menurutnya, barangan berharga yang hilang itu terdiri daripada 19 utas jam tangan berjenama mewah iaitu Rolex (4), Tag Heuer (3), UTS (2), Rado (2), Ball (1), Brietling (1), Victorinox (1) dan Guess bertatah berlian (1) yang disimpan rapi dan dikunci di dalam bilik tidurnya.
Beliau berkata, selain itu, kedua-duanya yang bekerja sejak setahun setengah lalu turut melarikan wang tunai RM15,000, barangan kemas terdiri daripada lapan bentuk cincin berlian, dua pasang subang serta rantai.
"Mereka juga sempat mencuri pelbagai jenis baju rekaan eksklusif oleh pereka terkenal serta kemeja T berjenama sebelum melarikan diri mengikut pintu belakang rumah," katanya.
Ira berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan Luluk Tanjiyah dan Udayati merancang jenayah itu sejak sekian lama dan mengambil kesempatan melakukannya semasa mereka berada di luar negara.
"Tiada perkara yang mencurigakan tentang mereka, cuma kebelakangan ini saya perasaan wang tunai RM1,000 hingga RM2,000 hilang dalam simpanan di rumah, namun tidak sesekali mengesyaki mereka berdua.
"Lagipun ketika kejadian, bilik tidur saya berkunci dan anak kunci sentiasa bersama saya. Malah, bilik juga tidak berselerak ketika kejadian, seolah-oleh mereka tahu di mana kami simpan semua barang termasuk pasport mereka," ujarnya.
Katanya, rumahnya tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup.
Ira memberitahu, pihaknya telah membuat laporan di Balai Polis Gombak dan juga ke Jabatan Imigresen untuk mendapat maklumat lanjut.
"Pihak Imigresen telah menyenaraihitamkan mereka dan kami juga telah berhubung dengan ejen dari Indonesia untuk mencari mereka tetapi kedua-duanya masih belum menghubungi keluarga masing-masing.
"Kami hairan kenapa mereka melakukan perkara itu sedangkan kami sekeluarga berlaku baik terhadap mereka," jelasnya.
Katanya, ekoran kejadian itu, beliau dan suami serik untuk menggaji lagi amah dari Indonesia.
"Kini saya trauma setelah diperlakukan oleh amah Indonesia. Saya nasihatkan kepada majikan yang mempunyai amah Indonesia supaya berhati-hati," katanya.
No comments:
Post a Comment