Pages

Sunday, February 5, 2012

KDN tidak tolak kemungkinan





PUTRAJAYA 4 Feb. - Kementerian Dalam Negeri tidak menolak kemungkinan terdapat lebih daripada seorang rakyat Malaysia terbunuh dalam serangan ke atas kubu kuat militan Abu Sayyaf dan pertubuhan Jemaah Islamiah (JI) di selatan Filipina kelmarin.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, rakyat Malaysia yang terbunuh itu dikenal pasti mempunyai kaitan dengan pertubuhan JI dan Darul Islam.

Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut mengenai identiti anggota kumpulan itu yang terbunuh masih dijalankan untuk membuktikan kewarganegaraannya.

"Saya ucapkan takziah dan terima kasih kepada anggota keluarga mereka yang terbunuh kerana memberi kerjasama membantu mengecam mereka yang terbunuh.

"Dalam masa sama, kita memerlukan pengesahan asid deoksiribonukleik (DNA) dan sebagainya untuk mengenal pasti mereka yang terbunuh.

"Saya dimaklumkan proses ini tidak akan mengambil masa yang lama dan ketika ini wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Task Force dan Counter Terrorism berada di Filipina untuk membantu menguruskan jenazah mereka yang terbunuh," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas serangan tentera Filipina terhadap kubu kuat kumpulan Abu Sayyaf dan pertubuhan JI di Sulu, wilayah selatan Filipina hingga menyebabkan 15 militan kumpulan itu terbunuh.

Dalam serangan waktu Subuh itu, tiga pemimpin kanan paling dikehendaki kumpulan tersebut iaitu pemimpin Abu Sayyaf warga Filipina, Umbra Jumdail; rakyat Malaysia, Zulkifli Hir (gambar) dan warga Singapura, Abdullah Ali Alias Muawiyah turut terbunuh.

Menurut Hishammuddin, pihak polis Filipina turut mengesahkan terdapat seorang lagi anggota kumpulan itu yang terbunuh dalam serangan tersebut.

"Saya menerima laporan terkini hari ini bahawa terdapat seorang lagi yang terbunuh, tidak melibatkan warganegara kita dan pengesahan mengenai perkara itu akan dibuat oleh negara berkenaan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kejadian serangan yang berlaku itu membuktikan tindakan kerajaan yang proaktif dan pre emptive (awal) dalam menangani isu keselamatan kian berjaya hingga memaksa dan mengusir kumpulan militan keluar dan berkubu di negara lain.

Sementara itu, Pasukan Petugas Khas (Operasi dan AntiKeganasan) Bukit Aman sudah mengambil DNA isteri, ibu, anak dan adik kepada Zulkifli manakala DNA keluarga Amin Bacho dan Jeknal Adil, dua angggota kumpulan militan Darul Islam yang dipercayai turut terbunuh dalam insiden itu akan diambil esok, di Tawau, Sabah.

Difahamkan, terdapat enam dari 15 orang yang terbunuh dalam kejadian itu juga rakyat Malaysia, namun belum dapat disahkan.Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments: