January 8, 2012
KEMAMAN – Tindakan seorang bapa meninggalkan anaknya yang berusia setahun 11 bulan dalam bakul motosikal di belakang sebuah lori membawa padah apabila pemandu lori berkenaan mengundur kenderaannya lalu menggilis anak kecil malang itu dalam kejadian di Kawasan Kuari Terengganu Tengah, Ibok, di sini, pagi semalam.
Tragedi ngeri itu mengakibatkan, Muhammad Shakir Zufayri Mohd Asri, meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, bapa mangsa yang menyaksikan kejadian tersebut cuba untuk menyelamatkan anaknya.
Sebelum kejadian, mangsa dikatakan ditinggalkan sendirian di dalam bakul motosikal oleh bapanya yang menuju ke sebuah bengkel dengan kedudukan motosikal diletakkan di belakang sebuah lori yang digunakan untuk mengangkut pasir di kuari berdekatan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, pemandu lori yang tidak sedar akan kehadiran motosikal itu mengundurkan kenderaannya lalu merempuh motosikal berkenaan.
“Dia (pemandu lori) hanya menyedari telah menggilis mangsa setelah lorinya ditepuk beberapa kali oleh saksi yang berada di tempat kejadian.
“Apabila turun dari lori dia terkejut melihat seorang kanak-kanak serta sebuah motosikal terpelosok di bawah lorinya,” katanya.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kemaman dan bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan mangsa kecederaan parah di bahagian kepala.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment