Pages

Wednesday, December 19, 2012

Syria kepung kem pelarian Palestin



Sedutan video yang dimuatnaik di YouTube kelmarin, menunjukkan mayat-mayat bergelimpangan di lantai masjid selepas tentera Syria melancarkan serangan udara ke atas sebuah kem pelarian Palestin di Yarmuk, di Damsyik, Syria. - AFP
DAMSYIK 18 Dis. - Tentera Syria dilapor mengepung sebuah kem pelarian Palestin di sini, sehari selepas melancarkan serangan udara yang membunuh sekurang-kurangnya lapan orang yang berlindung di sebuah masjid di kem tersebut.
Ramai penduduk Syria melarikan diri dari kawasan tersebut semalam, ekoran pertempuran sengit antara kumpulan Palestin yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad dan kumpulan penentang kerajaan.
Seorang aktivis yang tinggal di Yarmuk, Rasim Abu Thawra memberitahu stesen televisyen al-Jazeera, kawasan penempatan itu dibedil sekali lagi dalam serangan udara semalam.
"Beratus-ratus keluarga melarikan diri dari kem tersebut ke kawasan yang lebih selamat pada hari ini.
"Mereka berpecah ke destinasi berbeza. Sesetengah pelarian berlindung di rumah saudara-mara di kawasan berhampiran dan yang lain berlindung di masjid-masjid di al-Midan dan al-Zahira," jelasnya.
Beratus-ratus pelarian Palestin turut dilapor melarikan diri ke Lebanon.
Serangan udara di kem pelarian Yarmuk itu berlaku ketika aktivis mendakwa sebuah lagi kem pelarian Palestin di bandar selatan Deraa dibom tentera udara kerajaan.
Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) bagi Pelarian Palestin berkata, kem pelarian di Yarmuk menjadi kawasan pertempuran.
Agensi PBB itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan hampir 500,000 pelarian Palestin yang tinggal di kem itu, yang turut menempatkan penduduk Syria yang berlindung.
Pertempuran sengit meletus dua minggu lalu antara kumpulan Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin- Pemerintah Umum (PFLP-GC) yang menyokong kerajaan Syria dan kumpulan pemberontak yang disokong pejuang Palestin yang lain. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121219/lu_02/Syria-kepung-kem-pelarian-Palestin#ixzz2FThMijg4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: