Pages

Wednesday, December 19, 2012

Pelarian Palestin lari dari Syria



SEJUMLAH kenderaan yang membawa pelarian Palestin berbaris untuk memasuki pintu sempadan Masnaa di Lebanon bagi melarikan diri dari serangan tentera Bashar di selatan Damsyik semalam.


DAMSYIK – Sejumlah pelarian Palestin di kem Yarmuk di selatan Damsyik melarikan diri selepas pertempuran sengit antara tentera rejim dan para penentang Presiden Syria, Bashar Al-Assad menggegarkan kem itu malam kelmarin.
Ketiadaan hospital, anggota bomba dan jalan yang tidak selamat menjadikan kem tersebut kini dilanda krisis kemanusiaan yang teruk.
Seorang penduduk yang dihubungi wartawan agensi berita AFP memberitahu, pihak tentera mengarahkan kesemua 150,000 penduduk berpindah menjelang tengah hari semalam.
Peperangan menentang pemerintahan Bashar yang meletus pada Mac tahun lalu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 43,000 nyawa.
Beberapa jet pejuang tentera Syria melancarkan serangan udara ke atas kem tersebut.
Dalam serangan pada Ahad lalu, seramai lapan orang awam terbunuh di kem berkenaan di selatan Damsyik.
Ratusan orang pelarian Palestin dilihat memasuki Lebanon semalam dari pintu sempadan Masnaa.
Seramai 2,000 orang pelarian Palestin memasuki Lebanon sejak tiga hari lalu, menurut anggaran sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk pelarian tersebut.
Menurut wartawan agensi berita itu, puluhan bas dan kereta membawa pelarian Palestin tiba di Lebanon semalam.
Beberapa penumpang memberitahu wartawan bahawa mereka datang dari kem pelarian Yarmuk yang diserang jet-jet tentera Bashar.
“Terdapat serangan di beberapa kawasan di kem tersebut dan kebanyakan orang meninggalkan kem itu,” kata seorang pemuda.
Sementara itu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia semalam, kira-kira 100 orang cedera akibat peperangan dimasukkan ke hospital setiap hari di Damsyik sehingga menyebabkan berlaku kekurangan bekalan ubat-ubatan.
Beberapa laporan menyatakan Rusia telah menghantar beberapa buah kapal perang untuk membawa ribuan warga negara itu keluar dari Syria.
Kelmarin, Naib Presiden Syria, Faruq al-Sharaa menyatakan tidak ada siapa yang bakal memenangi peperangan di negara ini.
Para penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan menentang Bashar selepas beliau didakwa gagal untuk membawa pembaharuan pentadbiran dan kebebasan bersuara di Syria. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1219&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2FRZxqSaF 
Hakcipta terpelihara 

No comments: