Pages

Wednesday, December 19, 2012

Saintis selesai kes kematian firaun




IMEJ yang tidak bertarikh menunjukkan beberapa saintis Institut Akademi Bozen/Bolzano Eropah membuat penyelidikan mumia Ramses III di sebuah makmal di Kaherah, Mesir.


PARIS - Seorang pembunuh upahan mengelar leher seorang firaun agung terakhir Mesir ketika kemuncak konflik perebutan takhta, kata beberapa saintis kelmarin dalam satu laporan berhubung pembunuhan berusia 3,000 tahun itu.
Mereka berkata, teknologi forensik mendapati Firaun Ramses III menemui ajal di tangan seorang atau beberapa orang pembunuh yang dihantar oleh isteri dan anak lelakinya.
Raja empayar Mesir purba memakai gelaran firaun dengan baginda dipuja sebagai dewa.
Menurut mereka, anak lelaki Ramses III dipaksa membunuh diri selepas komplot itu berakhir.
Imej tomografi berkomputer (CT) mumia Ramses III menunjukkan salur udara dan beberapa arteri utama firaun berkenaan telah dikelar dengan menyebabkan luka selebar 70 milimeter dan hampir mengenai tulang belakangnya.
Luka tersebut menyebabkan kecederaan pada tisu leher depan firaun itu.
"Saya hampir tiada kesangsian langsung bahawa Ramses III mati kerana lehernya dikelar," kata seorang ahli palaeopatologi Institut Akademi Bozen/Bolzano (EURAC) yang mengkaji mumia dan lelaki ais, Albert Zink.
"Luka itu sangat dalam dan agak besar, kecederaan tersebut hampir mengenai tulang belakang. Ia luka yang boleh mengundang maut," tambahnya.
Ramses III yang memerintah dari sekitar 1188 hingga 1155 Sebelum Masihi (SM) disebut dalam beberapa surat kuno sebagai Dewa Besar dan seorang ketua tentera yang melindungi Mesir daripada diceroboh pihak asing.
Baginda mati ketika berusia sekitar 65 tahun tetapi punca kematiannya sebelum ini masih kabur.
Beberapa bahan bukti insiden tersebut terletak dalam surat kuno dikenali sebagai Papirus Kehakiman Turin.
Dokumen itu merekodkan empat perbicaraan berhubung dalang-dalang di sebalik komplot pembunuhan Ramses III yang antara lain melibatkan isteri mudanya, Tiy dan anak lelaki mereka, Putera Pentawere.
Setelah setahun mengkaji mumia Ramses III, Zink dan beberapa pakar dari Mesir, Itali dan Jerman mendapati luka di leher firaun berkenaan selama ini tersembunyi di sebalik kain balutan mumia. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1219&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2FRcGDKmd 
Hakcipta terpelihara 

No comments: