Pages

Saturday, December 29, 2012

Pesawat Syria lancar serangan di Damsyik

SEORANG anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di sebuah bangunan yang didakwa terkena serangan meriam tentera kerajaan Syria di Erbeen, dekat Damsyik pada 25 Disember lalu. - REUTERS
BEIRUT 28 Dis. - Seorang maut dan berpuluh-puluh orang lagi cedera selepas pesawat perang Syria melancarkan serangan di Damsyik hari ini selepas serangan bom dan pertempuran di seluruh negara itu malam tadi.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, tentera udara buat pertama kali menyerang kawasan Assal al-Ward di wilayah Kalamun.
''Seorang maut dan berpuluh-puluh orang cedera dalam serangan udara itu manakala sejumlah rumah turut musnah,'' kata kumpulan pemerhati yang berpangkalan di Britain itu dalam satu kenyataan.
Kumpulan pemerhati itu berkata, tentera Syria semalam berundur daripada beberapa kawasan di Kalamun namun serangan udara dijangka terus dilancarkan ketika mereka cuba merampas kembali kawasan yang dikawal oleh pemberontak.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria juga melaporkan pertempuran di beberapa daerah di ibu negera Syria malam tadi.
''Sejumlah roket dilancarkan di daerah Qaboon, timur laut Damsyik dan pertempuran antara pemberontak dan tentera berlaku di Qadam, selatan Damsyik.
''Pertempuran turut berlaku di Daraya, selatan Damsyik ketika tentera pimpinan Presiden, Bashar al-Assad cuba merampas kembali daerah itu sejak beberapa minggu lalu," kata kumpulan pemerhati tersebut.
Kumpulan pemerhati tersebut menambah, pertempuran juga tercetus di Yalda dan Douma serta serangan ke atas kedudukan tentera di timur laut Damysik iaitu antara bandar Irbin dan Harasta.
''Penembak hendap menembak mati seorang lelaki di kem pelarian Palestin di Daraa dan pertempuran juga dilaporkan berlaku di kawasan berdekatan Jordan," kata kumpulan pemerhati itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121229/lu_03/Pesawat-Syria-lancar-serangan-di-Damsyik#ixzz2GROxeWrr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: