Pages

Saturday, December 29, 2012

Rusia desak Bashar berbincang

KEMUSNAHAN yang berlaku akibat pertempuran antara tentera Syria dengan para penentang Bashar di bandar Aleppo kelmarin.


MOSCOW - Rusia yang merupakan satu-satunya negara yang mempunyai hubungan rapat dengan rejim Syria semalam mendesak Presiden Bashar Al-Assad untuk mengadakan perbincangan bersama para penentangnya.
Tekanan terbaharu terhadap Bashar itu berlaku ketika Rusia berusaha untuk menyelamatkan proses keamanan dengan merancang mengadakan pertemuan pada hari ini bersama pengantara keamanan Syria, Lakhdar Brahimi.
Moscow juga mengundang Ketua Majlis Perikatan Kebangsaan Syria, Ahmed Moaz al-Khatib untuk mengadakan perbincangan sama ada di Moscow atau di sebuah ibu kota negara di rantau tersebut.
Bagaimanapun, Rusia masih menganggap Bashar sebagai pemimpin yang sah.
Konflik yang berlaku di Syria itu bermula sejak Mac tahun lalu yang telah menyebabkan lebih 43,000 orang terbunuh.
Pertempuran antara kumpulan penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan itu dengan tentera Syria berlaku selepas kebangkitan rakyat di Asia Barat dan Afrika Utara.
Ahmed memberitahu stesen televisyen Al-Jazeera bahawa beliau hanya akan bertemu dengan wakil-wakil Rusia di luar Moscow dengan syarat pihak negara berkenaan mengutuk dengan jelas jenayah kemanusiaan yang dilakukan rejim Syria.
Para penentang itu mahu Bashar meletakkan jawatan selepas beliau gagal membawa pembaharuan dalam pentadbiran selepas peralihan kepimpinan berlaku di Tunisia dan Mesir ekoran kebangkitan rakyat yang menuntut demokrasi.
Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov menyatakan pihaknya masih enggan menyokong desakan masyarakat antarabangsa supaya Bashar meletakkan jawatan.
Menurutnya, Moscow menjangkakan penduduk Syria akan memutuskan nasib negara mereka sendiri. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1229&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2GO4MeI2w 
Hakcipta terpelihara 

No comments: