Pages

Thursday, October 4, 2012

Turki mahu PBB halang Syria serang wilayahnya

 Turki mahu PBB halang Syria serang wilayahnya
Suasana di bandar Akcakale, yang terletak di
tenggara Turki. - Foto ihsan CNN
NEW YORK - Turki mahu Majlis Keselamatan mengambil tindakan sewajarnya ke atas Syria bagi menghentikan pencerobohan Damsyik ke atas wilayahnya susulan perkembangan semalam yang menyebabkan lima orang awam terbunuh.

"Ini satu tindakan menceroboh Syria ke atas Turki," kata Duta Turki ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ertugrul Apakan semalam kepada Duta Guatemala, Gert Rosenthal, yang kini mengetuai Majlis Keselamatan.

Majlis Keselamatan dijangka mengeluarkan kenyataan mengecam serangan Syria, kata beberapa diplomat PBB.

Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu juga melahirkan kerisauan beliau kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon.

Laporan terdahulu menyebut Turki menembak sasaran Syria sebagai tindak balas ke atas serangan terhadap bandar sempadan negara itu, yang meragut nyawa lima orang awam, kanak-kanak dan wanita, semalam.

Tindakan Turki itu disahkan oleh Pejabat Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan.

"Bandar Akcakale terkena tembakan artileri milik angkatan tentera rejim Syria," kata pejabat Recep Tayyip dalam satu kenyataan.

"Tentera kami di sempadan bertindak balas dengan segera ke atas serangan kejam ini," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah, Turki telah bertindak mengikut peraturan dan undang-undang antarabangsa dan tidak akan membenarkan "provokasi seperti ini, yang menyasarkan aspek keselamatan."

Perkembangan itu menggambarkan ketegangan kedua-dua negara itu kini berada di kemuncak.

No comments: