Pages

Thursday, October 4, 2012

3 letupan kuat gegar Aleppo

Penduduk Libya mengangkat seorang mangsa yang cedera dalam
kejadian letupan di Dataran Saadallah al-Jabari , bandar Allepo, semalam.
 Sekurang-kurangnya 48 orang terbunuh dalam tiga kejadian
 letupan kereta di Aleppo, semalam. - REUTERS
BEIRUT 3 Okt. - Tiga bom kereta menggegarkan tengah bandar raya Aleppo, hari ini menyebabkan 48 orang maut dan 90 lagi cedera, serangan yang berlaku selepas pemberontak pada minggu lalu mengumumkan melancarkan serangan habis-habisan ke atas bandar kedua terbesar di Syria itu.
Letupan itu berlaku di Dataran Saadallah al-Jabiri, berhampiran pejabat, kelab dan hotel tentera, menurut pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Menurut seorang pegawai bandar raya, mangsa kebanyakannya adalah anggota tentera dan angka korban dijangka meningkat kerana ramai yang cedera parah.
Pertempuran bertambah sengit di kawasan strategik di bandar Aleppo sejak minggu lalu ekoran cubaan pemberontak melancarkan serangan habis-habisan untuk menawan bandar raya itu.
Tumpuan utama serangan adalah di Salaheddin, kubu kuat pemberontak di barat daya Aleppo di mana mereka bertindak menyerang kem tentera, kata pertubuhan Pemantau Syria itu.
Televisyen Syria turut melaporkan berlaku ‘serangan pengganas’ di bandar itu dan rakaman yang disiarkan menunjukkan berlaku kemusnahan besar pada bangunan-bangunan di sekitar dataran tersebut.
Seorang ketua biro AFP melaporkan, dia mendengar dua letupan kuat yang kemudiannya mencetuskan kepulan asap besar di ruang udara bandar komersial itu.
Bahagian hadapan bangunan hotel itu musnah dan sebuah kafe runtuh akibat letupan tersebut.
Semua bangunan kerajaan ditutup selepas insiden letupan itu, menurut koresponden itu.
Sementara itu, pertubuhan pemantau yang beribu pejabat di London itu berkata, beberapa daerah di Aleppo turut dibom, semalam ketika akhbar harian pro-kerajaan, al-Watan melaporkan tentera tambahan telah dihantar ke bandar kedua terbesar di Syria itu.
“Pasukan tentera tambahan telah tiba untuk memberi sokongan dan pemberontak kini keletihan serta mula melarikan diri dari beberapa kampung dan bandar di Aleppo," lapor akhbar itu, semalam. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121004/lu_01/3-letupan-kuat-gegar-Aleppo#ixzz28KveNFsx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: