MAARET AL-NUMAN - Jet-jet tentera Syria melakukan serangan di bandar ini semalam ketika pihak tentera didakwa menggunakan bom berangkai.
Serangan itu dilakukan di bandar itu yang terletak di barat laut negara ini.
Bandar tersebut dianggap strategik di wilayah Idlib kerana ia telah ditawan para penentang tentera Bashar Al-Assad pada minggu lalu.
Sementara itu, para penentang menunjukkan kepada wartawan agensi berita AFP serpihan bom berangkai yang digunakan tentera Syria.
Menurut para penentang itu, bom tersebut digugurkan di beberapa kawasan penduduk.
Beberapa bom tersebutyang gugur tidak meletup.
Bom itu mempunyai aksara Cyril yang menyebakan ia dipercayai dibuat di Rusia.
Rusia merupakan sekutu utama Syria. Pertubuhan hak asasi Human Rights Watch mendakwa Syria menggunakan bom berangkai.
Bagaimanapun, tentera Syria menafikan ia menggunakan bom tersebut.
Sebuah pertubuhan yang menyokong penentangan terhadap Bashar melaporkan bahawa bom tersebut digugurkan pada minggu lalu di bandar Saraqeb, utara Maaret Al-Numan.
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan menyatakan sebanyak 40 peratus bom itu gagal meletup.
Menurut pertubuhan itu, 98 peratus mangsa bom itu ialah orang awam termasuk kanak-kanak yang menyentuhnya kerana mereka menyangka ia merupakan alat permainan.
Pergolakan di Syria berlaku sejak Mac tahun lalu yang menyebabkan lebih 30,000 orang dilaporkan terbunuh.
Para penentang mahu menggulingkan Bashar yang dianggap gagal melaksanakan pembaharuan politik termasuk hak kebebasan bersuara.
- Agensi
No comments:
Post a Comment