RAMALLAH: Puluhan anggota perisikan dalaman Israel, ejen Shin Bet dan penganut Yahudi semalam menceroboh halaman Masjidil Aqsa, kata pihak berkuasa Palestin.
Ketua Majlis Wakaf Islam Baitulmaqdis, Sheikh Abdulazeem Salhab berkata, 30 pegawai Shin Bet dan sekumpulan 40 Yahudi diketuai anggota Parlimen Parti Likud pimpinan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, Moshe Feiglin, memasuki kompleks masjid berkenaan melalui pintu Al-Magharebah.
Sheikh Abdulazeem berkata, Feiglin yang mengetuai puak Kepemimpinan Yahudi dalam Likud dan mencabar kepemimpinan Netanyahu memasuki Al-Musalla Al-Marwani, Al-Musalla Al-Qibli dan Kubah Batu. Beliau berkata, Feiglin ‘mula membangkitkan kemarahan umat Islam yang beribadat dengan ejen Shin Bet mengawalnya.” Hampir 3,000 penduduk Yahudi dan 2,000 polis Zionis menceroboh kompleks masjid itu sejak awal tahun ini.
Menurutnya, pencerobohan harian ke atas tempat suci ketiga umat Islam itu adalah sebahagian usaha Israel untuk meyahudikan apa yang masih tinggal di Baitulmaqdis ‘dengan meningkatkan kehadiran masyarakat Yahudi di situ.’ Israel menjajah Baitulmaqdis Timur pada Jun 1967, menjadikannya sebahagian wilayahnya pada 1980 dan membina kediaman untuk 300,000 penduduk Yahudi.
Kelmarin, Parti Demokratik AS mengubah dasarnya untuk menyokong Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. Media Israel berkata, perubahan detik terakhir itu dibuat ekoran kritikan semakin meningkat daripada anggota Demokrat di Kongres yang berang bahawa pengisytiharan dasar 2008 menyokong Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel telah dipinda daripada teks 2012.
Dasar 2008 menyuarakan bahawa ‘Baitulmaqdis sentiasa dan akan kekal sebagai ibu negara Israel.” Bagaimanapun, Speaker Knesset, Reuven Rivlin berkata, penambahan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel kepada dasar parti Demokrat tidak menepati tujuan asalnya. - Agensi
No comments:
Post a Comment