8 September 2012
KOTA BHARU-Tidak tahan melihat anak sentiasa menangis dan merengek berterusan memanggil ibunya sejak dua minggu lalu, seorang suami merayu kepada isterinya supaya segera pulang ke pangkuan keluarga.
Nik Mohd Normizan Ibrahim, 29, meminta isterinya, Suriaanis Ablah, 21, yang menghilangkan diri sejak dua minggu lalu pulang semula ke rumah mereka memandangkan anak sulungnya, Nik Mohd Adam, 3, sering sakit selepas ketiadaannya.
Nik Mohd Normizan mendakwa Suriaanis melarikan diri bersama anak bongsunya, Nik Nuradila sejak hari raya keenam lagi dan sehingga hari ini tidak pulang ekoran berlaku perselisihan faham antara mereka.
“Saya sedih melihat anak sulung kami sentiasa menangis mengingatkan ibunya, apatah lagi keadaan itu menyebabkan dia sering demam dan tidak sihat kerana rindukan ibunya.
“Demi anak-anak kita pulanglah dan lupakan semua apa yang berlaku. Semua masalah dilalui boleh dibincang,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.
Nik Mohd Normizan menyedari isterinya tiada di rumah kira-kira jam 12 tengah hari pada hari raya keenam selepas panggilannya tidak disahut ketika dia pulang ke rumah di Kubang Kerian.
“Curiga dengan panggilannya tidak diendahkan saya terus memeriksa kawasan rumah dan dapati Suriaanis bersama anak perempuannya kami sudah tiada," katanya.
Bapa kepada dua anak itu memberitahu, setelah buntu mencari isteri dan anaknya, dia ke Balai Polis Kubang Kerian untuk membuat laporan kehilangan.
Bagaimanapun, Nik Mohd Normizan terkejut kerana isterinya lebih awal membuat laporan bahawa mereka keluar rumah dengan rela hati.
“Saya harap isteri saya dapat pulang semula dan kami sekeluarga menunggu kepulangannya demi masa depan anak-anak yang kini semakin membesar,” katanya.
Nik Mohd Normizan mengharapkan sesiapa yang berjumpa dengan isteri dan anaknya boleh menghubunginya di talian 019-9737521.
No comments:
Post a Comment