Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria
Anggota pasukan pemadam kebakaran berjaya memadamkan api yang tercetus akibat letupan sebuah kereta di kawasan menempatkan bangunan Kementerian Maklumat dan Kementerian Keadilan
DAMSYIK - Damsyik sekali lagi dicemari dengan serangan bom berkembar yang menggegarkan ibu negara Syria itu dalam tempoh seminggu.
Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpusat di Britain, pengeboman di luar masjid Rukniyeh, utara Damsyik tersebut berlaku semasa jemaah baru selesai menunaikan solat Jumaat dan ia turut meragut nyawa lima tentera.
Media tempatan melaporkan insiden itu berlaku selepas sebuah motosikal yang sarat membawa bahan letupan meletup secara tiba-tiba.
Letupan tersebut turut menyebabkan enam kereta dan beberapa bangunan, termasuk klinik berhampiran musnah.
Kira-kira dua jam selepas itu, kawasan kejiranan Mazzeh yang turut menempatkan bangunan Kementerian Maklumat dan Kementerian Keadilan pula digegarkan dengan kejadian letupan sebuah kereta.
Bagaimanapun, pihak berkuasa melaporkan tiada kematian dilaporkan dalam insiden pengeboman kedua itu.
Isnin lalu, seramai 15 orang dilaporkan terbunuh manakala empat anggota keselamatan dilaporkan cedera dalam serangan pengeboman berkembar berhampiran masjid Sbeneh dan pejabat tentera di Damsyik.
Sehingga kini, lebih 26,000 orang dilaporkan terkorban akibat pergolakan di Syria yang tercetus sejak 16 bulan lalu.