Pages

Sunday, September 2, 2012

Dua suspek pengganas ditembak mati di Solo



SOLO - Skuad antipengganas Indonesia membunuh dua suspek militan berusia 19 tahun dalam satu serbuan yang turut meragut nyawa seorang anggota unit berkenaan, kata pihak berkuasa semalam.
"Dua suspek pengganas dibunuh malam kelmarin di sini, Jawa Tengah, oleh unit polis Densus 88. Seorang lagi telah ditangkap," kata jurucakap polis Indonesia, Boy Rafli.
"Mereka bersenjata dan seorang anggota polis berkenaan turut maut akibat ditembak suspek," tambah jurucakap berkenaan.
Ketua Polis Indonesia, Timur Pradopo pula memberitahu, serbuan dilakukan selepas polis menerima maklumat bahawa mereka merancang lebih banyak serangan selepas terlibat dalam kejadian menembak mati seorang anggota polis pada Khamis lalu.
Menurutnya, sebutir bom tangan turut dilontar ke arah sebuah pos kawalan polis di sini dua minggu lalu.
"Ketiga-tiga lelaki ini terlibat dalam tiga kejadian tembakan dan mereka merupakan anggota sebuah kumpulan baharu yang mempunyai kaitan dengan rangkaian pengganas lama di kawasan ini," kata Pradopo.
"Kedua-dua lelaki yang mati berusia 19 tahun," katanya kepada sekumpulan pemberita di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, ketua agensi antikeganasan Indonesia, Ansyaahd Mbai memberitahu bahawa ketiga-tiga lelaki terbabit merupakan anggota kumpulan Jemaah Anshorut Tauhid (JATI) yang diasaskan oleh ulama Abu Bakar Bashir pada 2008. - AFP

No comments: