Pages

Monday, August 13, 2012

Zon larangan terbang di Syria




         
ALEPPO: Amerika Syarikat dan Turki semalam berkata mereka mengkaji beberapa langkah untuk dilaksanakan terhadap Syria.

Ia termasuk menguatkuasakan zon larangan terbang di negara itu ketika pertempuran antara tentera Presiden Bashar al-Assad dengan pemberontak menggegarkan Aleppo dan tengah Damsyik.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton berkata, Washington dan Ankara perlu menghasilkan rancangan secara terperinci mengenai cara membantu pemberontak yang berjuang untuk menggulingkan Bashar.

“Perkhidmatan Perisikan dan tentera kami mempunyai tanggung jawab penting dan kami akan menubuhkan kumpulan kerja untuk melakukannya,” kata Hillary selepas berunding dengan rakan sejawatannya dari Turki, Ahmet Davutoglu di Istanbul, semalam.


Ditanya mengenai pilihan seperti menguatkuasakan zon larangan terbang di wilayah yang dikuasai pemberontak, beliau berkata, ia adalah antara kemungkinan yang beliau dan Ahmet setuju untuk mengkaji secara mendalam.


Ia adalah kenyataan paling kukuh Washington setakat ini mengenai kemungkinan ia terbabit secara langsung dari segi ketenteraan di Syria.

Zon larangan terbang yang dikuatkuasakan Nato dan sekutu Arabnya membantu pemberontak Libya menggulingkan Muammar Gaddafi tahun lalu.

Barat sebelum ini menolak rancangan mengulangi tindakan seumpama itu di Syria.

Arab Saudi dan Qatar dipercayai membekalkan senjata kepada pemberontak Syria sementara Amerika Syarikat dan Britain berikrar untuk meningkatkan bantuan bukan ketenteraan kepada penentang Bashar itu.

Tentera Bashar bertempur dengan pemberontak sejak tiga minggu lalu di Allepo dalam usaha menawan semula beberapa daerah. - Reuters

No comments: