Pages

Monday, August 13, 2012

Dua gempa landa Iran

Foto
Pandangan umum menunjukkan kemusnahan kampung Ishikhli berhampiran bandar Varzaqan selepas gempa bumi yang melanda Iran semalam. - AFP
Foto
Penduduk bertungkus lumus mengeluarkan mayat mangsa gempa yang tertimbus. - AFP 
Foto
Seorang lelaki mengangkat mayat anak saudaranya yang baru dikeluarkan dari celah runtuhan akibat gempa di perkampungan Sourmah berhampiran bandar Varzaqan di barat laut Iran, semalam. AFP

300 terbunuh, lebih 2,600 cedera bencana menjelang Aidilfitri

Dubai: Dua gempa bumi dengan magnitud 6.4 dan 6.3, menggegarkan bahagian barat laut Iran semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 300 orang dan mencederakan lebih 2,600 yang lain, kata pegawai.

Gempa pertama berlaku di Ahar kira-kira 58 kilomter ke timur laut Tabriz pada pukul 4.54 petang waktu tempatan ketika umat Islam di Iran sedang membuat persiapan untuk berbuka puasa, diikuti gempa kedua 11 minit kemudian.
Kebanyakan penduduk berada di dalam rumah ketika kejadian, kerana mereka sedang menunggu waktu untuk berbuka puasa. Ramai tidak sempat menyelamatkan harta benda dan kebanyakannya tinggal sehelai sepinggang” - Pegawai penyelamat
Tak dapat Aidilfitri

Kejadian menyebabkan beribu-ribu penduduk tidak akan dapat menyambut Aidilfitri dengan sempurna sebaliknya terpaksa mendiami khemah sementara selepas rumah dan harta benda mereka musnah.

Pekerja penyelamat meneruskan kerja menggali runtuhan di berpuluh-puluh perkampungan sepanjang malam sehingga semalam ketika kakitangan perubatan bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa.

“Kebanyakan penduduk berada di dalam rumah ketika kejadian, kerana mereka sedang menunggu waktu untuk berbuka puasa. Ramai tidak sempat menyelamatkan harta benda dan kebanyakannya tinggal sehelai sepinggang,” kata seorang pegawai penyelamat.
Beribu-ribu penduduk berlindung di kem sementara atau tidur di atas jalan selepas gempa bumi kelmarin, ketika 55 gegaran susulan melanda wilayah itu manakala lebih banyak gegaran lagi diramal berlaku.

Angkat kematian meningkat

Pihak berkuasa Iran berkata, angka kematian dijangka meningkat berikutan keadaan sebilangan mangsa yang kritikal, manakala ramai lagi masih terperangkap di bawah runtuhan yang tidak dapat dimasuki pekerja penyelamat berikutan keadaan terlalu gelap.

“Enam buah kampung musnah manakala 110 lagi mengalami kerosakan teruk,” kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Hassan Ghadami yang dipetik agensi berita Fars.
Gambar yang dihantar ke laman web berita Iran menunjukkan banyak mayat mangsa termasuk kanak-kanak terbaring di lantai rumah mayat di bandar Ahar dengan kakitangan perubatan merawat mangsa yang cedera di tempat terbuka menjelang senja.

Kemusnahan besar

Imej lain menunjukkan kemusnahan besar akibat gempa manakala pekerja penyelamat menggali mangsa keluar dari runtuhan, sebilangannya masih hidup, yang lain terkorban.

Iran terletak dalam garis gelinciran utama dan mengalami beberapa gempa bumi dahsyat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk gempa dengan magnitud 6.6 pada 2003 yang meranapkan bandar tenggara bersejarah di Bam dan mengorbankan lebih 25,000 penduduk. - Reuters

No comments: