Pages

Monday, August 6, 2012

Tentera Syria kuasai Damsyik



Tentera Pembebasan Syria bertempur dengan tentera kerajaan di Salah al-Din, tengah Aleppo, semalam. - REUTERS
DAMSYIK 5 Ogos - Tentera Syria semalam berkata, pihaknya berjaya merampas kawalan ke atas daerah terakhir yang dikawal pemberontak di ibu negara ini, ketika pemberontak diserang hebat oleh tentera kerajaan di Aleppo, bandar kedua terbesar di negara ini.
Tentera berkata, daerah Tadamun di sini berjaya dirampas semula sehari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengkritik kegagalan pendekatan diplomasi untuk menamatkan konflik di negara ini yang telah meragut lebih 21,000 nyawa sejak 17 bulan lalu.
Seorang pegawai berpangkat Brigadier Jeneral yang enggan dikenali berkata, tentera kini mengawal semua kawasan di ibu negara.
''Kami telah membersihkan Damsyik (daripada pemberontak) dari Al-Midan ke Mazzeh, dari Al-Hajar ke Qadam... sehinggalah ke kubu akhir pemberontak, Tadamun,'' katanya ketika melawat Tadamun,
Seorang aktivis antikerajaan, Lena al-Shami berkata, Tentera Pembebasan Syria (FSA) telah berundur dari Tadamun dan akan memberi fokus kepada taktik serang-lari terhadap sasaran penting kerajaan.
Seorang wartawan AFP melaporkan terdapat berpuluh-puluh mayat dilempar ke dalam sebuah tong sampah besar dengan sebahagiannya terbakar atau berkecai di Yalda yang merupakan daerah bersebelahan dengan Tadamun.
Di Aleppo, Komander FSA di bandar itu, Abdel Jabar Oqaida berkata, tentera kini melancarkan serangan paling berat ke atas daerah Salaheddin sejak pertempuran bermula pada 20 Julai lalu.
Seorang pegawai kanan keselamatan memberi amaran pertempuran hebat di Aleppo belum bermula tetapi apa yang sedang berlaku hanyalah permulaan.
Beliau berkata, pasukan tentera tambahan dengan sekurang-kurang 20,000 askar kini berada di Aleppo. - AFP

No comments: