Pages

Monday, August 6, 2012

Amzah miliki 15,000 barang antik



AMZAH Ahmad tidak pernah jemu mengumpul dan menjaga barangan antik yang disimpan sejak 51 tahun lalu di rumahnya di Serdang Permai, Kampung Kepayang, Simpang Pulai, Ipoh, Perak. - utusan/ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN
IPOH - Menjejakkan kaki di rumah milik seorang pesara tentera di Serdang Permai, Kampung Kepayang, dekat sini umpama berada di sebuah muzium mini yang menempatkan pelbagai barangan antik.
Saat kaki melangkah masuk, objek pertama menjadi tumpuan tetamu pastinya kepada susunan ribuan botol pelbagai saiz di segenap sudut dan ruang kediaman berkenaan.
Malah, apabila mata dialihkan ke suatu sudut, jangan terkejut melihat beg pelbagai bentuk dan saiz disusun bertingkat walaupun ada antaranya sudah pudar warnanya.
Pandangan di sudut lain pula terletaknya pelbagai pedang ala Samurai, lembing, sumpit, dan parang yang ditempatkan di dalam satu bekas di sudut dinding.
Di tengah-tengah ruang tamu pula ditempatkan congkak, talam, seterika serta bekas-bekas kecil yang diisi pelbagai jenis duit syiling, cincin, batu dan majalah lama.
Apabila melalui laluan dari ruang tamu utama ke bahagian dapur, hati pasti terdetik kagum melihat usaha Amzah Ahmad, 67, yang cukup meminati hobi mengumpul barangan tersebut.
Menurutnya, minat mengumpul barang-barang antik itu bermula daripada ibunya yang mempunyai minat yang sama sehingga kini dia telah mempunyai lebih 15,000 himpunan pelbagai jenis barangan antik.
"Koleksi botol saya sendiri sudah melebihi 8,000 botol dan itu belum lagi dicampur dengan beg, cincin, jam, duit syiling, talam, congkak, radio dan motosikal lama.
"Rumah ini sendiri pun sudah kelihatan seperti muzium kerana terdapat banyak sangat barang-barang antik sehingga memenuhi setiap sudut rumah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Bagi Amzah, hobi mengumpul barang-barang antik dan purba merupakan satu aktiviti yang tinggi nilai seninya, selain memberi kepuasan yang maksimum terhadap setiap penggemar.
Katanya, minat mendalam terhadap barangan tersebut membuatkan dia tidak pernah 'gelap mata' terhadap pelbagai tawaran lumayan yang ditawarkan pembeli yang mahu mendapatkan barangan tersebut.
Ini kerana katanya, barang-barang itu mempunyai nilai tersendiri yang sukar untuk dibayangkan.
"Barang-barang antik ini saya kumpul sejak dari zaman muda hingga kini dan saya sama sekali tidak akan menjualnya biarpun ada tawaran harga yang tinggi," ujarnya.
Menurutnya, kebanyakan koleksinya itu diperoleh daripada warisan kedua ibu bapanya serta keluarga dan rakan-rakan yang mengetahui minat mendalamnya terhadap hobi unik itu.
Malah katanya, ada antara barangan tersebut didapati dari seluruh negara semasa dia berkhidmat sebagai anggota tentera.
Antara barang-barang antik lain yang dimilikinya adalah seperti jongkong perak dan emas, batu petir, katak Sang Kelembai, kitab lama, cincin, pedang, buluh, seterika, sumpit, parang dan sebagainya.
"Kebanyakan barang-barang ini berusia ratusan tahun dan diperoleh dari merata tempat. Setiap barang-barang antik ini mempunyai ceritanya yang tersendiri. Contohnya, katak Sang Kelembai yang dikatakan disumpah menjadi batu.
Barangan antik termasuk keperluan dapur masih menjadi khazanah cukup berharga buat Amzah Ahmad.
"Malah, cincin perkahwinan ibu dan botol susu yang saya gunakan sejak kecil menjadi antara barangan antik kesayangan yang memberi nilai sentimental tersendiri," ujarnya.
Ditanya perancangannya untuk semua barang antik tersebut, Amzah berkata, dia berhasrat menempatkannya di sebuah muzium khas yang boleh menempatkan kesemua 'khazanah' berkenaan.
"Harapan saya besar supaya semua barang-barang antik ini dapat dipamerkan kepada umum untuk tontonan generasi akan datang.
"Sayang jika barang yang bernilai ini dibiarkan begitu saja. Saya juga berharap Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dapat meluangkan masa untuk datang sendiri melihat semua barang-barang antik ini," katanya.
Bukan setakat rumah dijadikan muzium, Amzah turut menjadikan halaman rumahnya sebuah taman mini yang dipenuhi dengan pelbagai jenis pokok bonsai berusia hampir 32 tahun.
Menyentuh mengenai jenis pokok bonsai tanamannya, Amzah berkata, kebanyakan bonsai yang berada dalam simpanannya kini termasuk pokok jenis ara, kemuning dan jeliti.
"Pokok-pokok ini jenis menjalar dan mudah dibentuk," katanya.

1 comment:

mahmin said...

macam mana ea nk berhubung dgn pak cik nie??blh sy tau