DAMSYIK - Satu letupan besar menggegarkan pusat bandar raya ini semalam dan membentuk sebuah bebola api berdekatan sebuah hotel yang digunakan oleh pasukan pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Syria.
Serangan tersebut didakwa dilakukan oleh pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA).
Seorang pegawai tentera di lokasi kejadian berkata, letupan itu menyebabkan sebuah lubang besar terbentuk pada sebuah lori tangki dekat hotel Dama Rose di sini dan mencederakan sekurang-kurangnya lima orang.
Menurutnya, Timbalan Menteri Luar Syria dan staf PBB yang berada di hotel berkenaan tidak cedera dalam serangan tersebut.
"Operasi kali ini disasarkan ke atas sebuah pejabat pentadbiran tentera dengan bom dipasang untuk meletup pada mesyuarat pegawai-pegawai tentera dan anggota militia Shabiha berlangsung di sini," kata koordinasi FSA di Syria, Maher Nuwaimi.
Shabiha merupakan militia propemerintah Syria.
Komander FSA berkenaan memberitahu, bangunan tentera yang menjadi sasaran mereka menempatkan sebuah depot minyak selain simpanan peluru dan senjata api yang dibekalkan kepada pasukan tentera di sini.
"Operasi ini bertujuan untuk meningkatkan moral FSA dan memaklumkan kepada Bashar bahawa kami mampu melakukan operasi terancang kerana kami tahu perkembangan para pegawainya," ujar Maher di Beirut.
Ibu kota Syria itu kerap menjadi sasaran beberapa letupan bom termasuk serangan ke atas ibu pejabat keselamatan negara pada bulan lalu yang membunuh empat ketua keselamatan Presiden Bashar Al-Assad.
FSA mengaku melakukan serangan maut itu.
Sementara itu, Majlis Keselamatan PBB dijadualkan bermesyuarat hari ini bagi membincangkan masa depan misi pemerhati badan dunia itu di Syria.
Mandat PBB di bawah bekas utusan antarabangsa PBB/ Liga Arab di negara berkenaan tamat pada Ahad ini.
Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan Pemerhati Syria Bagi Hak Asasi Manusia memberitahu, lebih 23,000 orang terbunuh sejak rakyat Syria bangkit menentang pemerintahan Bashar kerana menuntut kebebasan demokrasi sejak 18 bulan lalu.
Sementara itu, beberapa lelaki bersenjata di Lebanon mengaku telah menangkap lebih 20 warga Syria.
Warga Syria itu akan dibebaskan jika seorang saudara kumpulan bersenjata itu yang ditawan pemberontak di Syria dibebaskan.
Ketegangan tersebut membayangkan betapa mudahnya perang saudara yang kini berlaku di Syria boleh merebak ke negara-negara jirannya.
Lebanon kini berpecah antara penyokong dan penentang rejim Bashar.
Pemberontak Syria kebanyakannya merupakan pengikut Sunah manakala Bashar dan pemimpin-pemimpin yang rapat dengannya merupakan menganuti mazhab Syiah.
Tahanan Lebanon di Syria berkenaan, Hassane Salim Al-Mikdad muncul dalam satu klip video yang disiarkan oleh pemberontak beberapa hari lalu.
Lelaki itu memberitahu bahawa dia adalah anggota pergerakan Hezbollah.
Pergerakan militan Syiah Lebanon itu bersekutu dengan penganut Syiah Iran dan Syria. - Agensi
No comments:
Post a Comment