BAITULMAQDIS: Perang dengan Iran mungkin menjadi konflik selama sebulan di beberapa tempat dengan serangan misil ke bandar Israel dan kira-kira 500 orang maut, kata Menteri Pertahanan Awam, semalam.
Bekas jeneral yang akan melepaskan jawatannya dan menjadi duta ke China, Matan Vilnai, berkata tiada ruang untuk rejim Zionis itu takut kerana mereka mempunyai persediaan terbaik bagi menghadapi situasi itu. “Saya tak mahu diseret dalam perdebatan, tetapi Amerika Syarikat adalah sekutu terhebat Israel dan kita akan sentiasa menyelaras tindakan dengannya,” katanya dalam temu bual disiar akhbar Maariv.
Temu bual itu diterbitkan ketika media Israel melaporkan, rejim Zionis mungkin menyerang kemudahan nuklear Iran sebelum Pilihan Raya Presiden AS pada November ini. Kelmarin, Setiausaha Pertahanan AS, Leon Panetta, berkata Washington tidak yakin Israel sudah membuat keputusan untuk menyerang Iran. Kata Vilnai, ratusan peluru berpandu mungkin disasarkan ke bandar Israel setiap hari dan dianggarkan kira-kira 500 orang terbunuh akibat tindakan Tel Aviv menyerang Iran. “Mungkin angka kematian lebih rendah atau lebih tinggi, tetapi inilah senario yang akan kita hadapi dengan baik bersama nasihat pakar terbaik,” katanya. Di beberapa tempat, katanya, perang akan berlanjutan sehingga 30 hari. Vilnai juga menjangkakan Israel diserang gerila Hizbullah di Lubnan dan pejuang Palestin dari Gaza. Namun, Vilnai tidak menyatakan kesan konflik terhadap ekonomi jika Tel Aviv diserang peluru berpandu jarak jauh. - Reuters
No comments:
Post a Comment