KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan meminta kerajaan Myanmar memberikan kebenaran bagi misi pencarian fakta OIC dihantar ke Myanmar, demikian diumumkan Setiausaha Agung OIC Ekmeleddin Ihsanoglu.
Beliau membuat kenyataan itu dalam kenyataan OIC pada akhir mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif bagi membincangkan isu Rohingya Islam di peringkat Wakil Tetap di ibu pejabat OIC di Jeddah pada hujung minggu lepas.
Ihsanoglu melahirkan kekecewaan dengan kegagalan masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan bagi menghentikan kezaliman dan diskriminasi oleh kerajaan Myanmar terhadap Rohingya Islam di Arakan, sebelum ini dikenali sebagai negeri Rakhine.
Beliau mencadangkan bagi dikaji kemungkinan menimbangkan penubuhan jawatankuasa misi pencarian fakta Islam untuk mencari penyelesaian terbaik terhadap isu itu di kalangan pihak-pihak berkenaan, termasuk kerajaan Myanmar serta organisasi antarabangsa dan serantau.
Setiausaha Agung itu berkata perbezaan pendapat di kalangan masyarakat antarabangsa mengenai hak asasi kaum Rohingya, dan perpecahan 25 organisasi Rohingya, telah mendorong organisasi terbesar Islam itu berusaha menyatukan organisasi berkenaan di ibu pejabat OIC pada Mei 2011.
“OIC telah mengarahkan pejabatnya di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)di New York untuk bekerjasama dengan negara-negara anggota yang juga bukan anggota tetap dalam Majlis Keselamatan PBB iaitu Azerbaijan, Maghribi, Pakistan dan Togo, untuk menggesa Majlis melihat kepada penderitaan Rohingya Islam,” katanya.
Beliau juga menggesa Suruhanjaya Tetap dan Kebebasan Hak Asasi Manusia OIC untuk mengkaji krisis penduduk Islam Myanmar dan implikasi hak asasi manusianya pada sesinya akan datang, yang akan diadakan di Turki pada akhir Ogos.
Sementara itu, Setiausaha Agung itu berharap Bangladesh menyemak semula pendiriannya mengenai Rohingya Islam, walaupun beliau faham akan pendirian Bangladesh dan sensitiviti isu itu.
Keganasan yang tercetus pada Jun 2012 di negeri Rakhine antara penganut Buddha dan Rohingya, telah mengakibatkan kira-kira 80 orang terbunuh di kedua-dua belah pihak, menurut angka rasmi.
Laporan menyatakan sekatan kerajaan Myanmar terhadap penyaluran bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Rohingya telah mengakibatkan lebih 100,000 orang tiada tempat tinggal dan amat memerlukan makanan, khemah dan rawatan perubatan dan keperluan bantuan kemanusiaan bagi kedua-dua masyarakat. - Bernama