PASADENA, California - Kenderaan robotik, Curiosity mendarat di kawah gergasi Gale di planet Marikh semalam dalam misi meneroka permukaan planet berkenaan.
Pasukan penyelidik dan jurutera Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) bersorak kelmarin apabila kenderaan itu memasuki atmosfera planet itu.
"Kita selamat mendarat di permukaan Marikh," kata jurutera NASA, Allen Chen.
Selepas mendarat, kenderaan itu menghantar gambar dari dalam kawah tersebut di planet Marikh ke pejabat NASA.
Dijana kuasa nuklear, Curiosity yang bersaiz sebesar sebuah kereta dilengkapi pelbagai peralatan saintifik, kamera dan stesen cuaca.
Kenderaan itu turut memiliki gerudi, sebuah tangan robotik, pancaran laser, alat pengukur radiasi dan makmal kimia mini.
Curiosity akan melakukan penerokaan selama dua tahun di permukaan Marikh.
Misi tersebut antara lain bertujuan untuk memastikan sama ada Marikh memiliki bahan asas bagi menyokong kehidupan seperti karbon, nitrogen, fosforus, sulfur dan oksigen.
Pembinaan dan penghantaran Curiosity ke planet merah berkenaan menelan belanja sekitar AS$2.5 bilion (RM7.76 bilion).
Walaupun kos itu amat tinggi, beberapa penyelidik NASA memberitahu, perbelanjaan besar tersebut berbaloi sekiranya Curiosity dapat melakukan pelbagai penemuan saintifik.
Kenderaan tersebut dihantar ke Marikh dengan menggunakan sebuah roket yang mengambil masa perjalanan lebih lapan bulan sejauh 566 juta kilometer (km). - Agensi
No comments:
Post a Comment