Pages

Tuesday, August 28, 2012

Israel halang aktivis ke Tebing Barat



AMMAN 27 Ogos - Israel dan Jordan semalam menghalang aktivis pro Palestin dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah menyeberangi Tebing Barat bagi menyampaikan bantuan kepada pelajar-pelajar Palestin.
Menurut jurucakap misi 'Welcome to Palestine', Olivia Zemor, sebuah daripada lima buah bas yang dinaiki 100 aktivis telah dibenarkan melalui Jambatan Raja Hussein yang menghubungkan Jordan dengan Tebing Barat oleh pihak berkuasa Jordan, tetapi diminta berpatah balik oleh pihak berkuasa Israel.
Katanya, pihak berkuasa (Israel) telah mengambil semua pasport mereka dan dicopkan 'dihalang masuk' sebelum mengarahkan mereka berpatah balik.
"Bas kedua turut dihalang menyeberangi jambatan tersebut oleh Jordan atas permintaan pihak keselamatan Israel,'' katanya.
Tambahnya, seorang pengawai polis Jordan memberitahu bahawa dia mendapat perintah daripada pihak berkuasa Israel supaya tidak membenarkan sesiapa memasuki kawasan tersebut.
"Kami meminta untuk mendapatkan penjelasan, tetapi tiada sesiapa tampil berbuat demikian sebelum kami bertindak mengadakan demonstrasi,'' ujarnya.
Zemor berkata, misi disertai 100 aktivis dari Perancis, Belgium, Sepanyol, Switzerland dan AS itu merupakan cubaan keempat mereka untuk memasuki wilayah Palestin itu.
Katanya, antara bekalan bantuan yang dibawa untuk pelajar-pelajar Palestin itu ialah satu tan permainan, pen, komputer riba dan bekalan-bekalan lain. - AFP

No comments: