Pages

Tuesday, August 28, 2012

Kes babit PM Pakistan ditangguh



Raja Pervez Ashraf (tengah) melambai kepada penyokongnya semasa tiba di Mahkamah Agung di Islamabad, Pakistan, semalam. - AFP
ISLAMABAD 27 Ogos - Perdana Menteri Pakistan, Raja Pervez Ashraf boleh menarik nafas lega sekurang-kurangnya untuk beberapa minggu lagi berhubung proses undang-undang yang panjang berkaitan kes rasuah yang membabitkan Presiden, Asif Ali Zardari, setelah mahkamah sekali lagi menangguhkan kes itu.
Hakim Mahkamah Agung, Asif Saeed Khosa, sekali lagi menangguhkan kes itu sehingga 18 September ini, selepas Pervez mengemukakan rayuan bagi mencari jalan untuk menyelesaikan isu tersebut.
Bulan lalu, Mahkamah Agung mengarahkan Pervez menulis surat kepada pihak berkuasa di Switzerland bagi meminta mereka membuka semula siasatan terhadap kes rasuah melibatkan jutaan dolar yang dikaitkan dengan Presiden tersebut.
Perdana Menteri Pakistan sebelum ini, Yousuf Raza Gilani dilucutkan jawatan setelah beliau menolak untuk mematuhi arahan mahkamah dan tindakan mahkamah itu seakan-akan memberi isyarat awal bahawa Pervez bakal menerima nasib yang sama seperti Gilani.
Selepas melucutkan jawatan Gilani pada Jun lalu, mahkamah memberi Pervez tempoh dua minggu supaya berbuat demikian sebelum menangguhkan kes tersebut.
Kerajaan, bagaimanapun selama lebih dua tahun menentang permintaan hakim untuk membuka semula siasatan terhadap Zardari dengan mendakwa pemimpin itu menikmati kekebalan sebagai ketua negara.
Pertelingkahan antara kedua-dua pihak tersebut dilihat bakal memaksa pilihan raya diadakan sebelum Februari 2013, dan ia dijangka menjadi sejarah bagi Pakistan buat pertama kalinya melengkapkan mandat lima tahun.
Tuduhan terhadap Zardari bermula sejak 1990-an lagi, apabila beliau dan isterinya, bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto disyaki terlibat dalam penggubahan wang haram bernilai AS$12 juta (RM36 juta) yang dibayar dalam bentuk rasuah oleh syarikat-syarikat yang mahukan kontrak-kontrak pemeriksaan kastam.
Pada 2009, mahkamah menolak amnesti politik yang menghalang siasatan terhadap Presiden dan beberapa lagi ahli politik, dengan mengarahkan kes tersebut dibuka semula. - AFP

No comments: