Pages

Wednesday, August 1, 2012

Indonesia bangkit isu Rohingya

JAKARTA 31 Julai - Indonesia akan membangkitkan isu berhubung konflik agama dan etnik di Rakhine di barat Myanmar pada Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada pertengahan bulan depan di Mekah.
Menteri Luarnya, Marty Natalegawa berkata, Indonesia akan menzahirkan bantahannya terhadap sebarang bentuk keganasan ke atas penduduk Islam Rohingya.
‘‘Kita perlu mengutarakan bahawa Indonesia secara konsisten menolak diskriminasi terhadap agama, etnik atau apa jua alasan lain. Pendirian kami juga melibatkan serangan berterusan terhadap etnik Rohingya di Myanmar,’’ katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau berkata, Indonesia tidak akan berdiam diri melihat apa yang berlaku di barat Myanmar itu.
Dalam pada itu, Myanmar semalam menolak tuduhan pasukan keselamatan negara itu melakukan penindasan ketika berlaku konflik agama dan etnik di Rakhine, selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan kekerasan yang diambil terhadap penduduk Islam di negeri itu.
Menteri Luar Myannmar, Wunna Maung Lwin berkata, kerajaan mengambil tindakan ‘sangat terhad’ dalam usaha menamatkan keganasan di negeri Rakhine.
‘‘Myanmar dengan keras menolak tuduhan oleh beberapa pihak bahawa pihak berkuasa melakukan penderaan dan penindasan dalam menangani situasi tersebut,’’ katanya pada sidang media yang turut dihadiri utusan hak asasi manusia PBB, Tomas Ojea Quintana.
Maung Lwin berkata, Yangon menolak cubaan untuk mempolitikkan konflik itu sebagai isu agama.
Quintana berkata, beliau melawat Rakhine hari ini dan mendapati berpuluh ribu penduduk kehilangan tempat tinggal ekoran pertempuran antara penduduk Buddha dengan etnik Rohingya pada awal bulan lalu.
Lawatan itu diadakan beberapa hari selepas PBB memberi amaran bahawa masyarakat Islam di Rakhine, terutama etnik Rohingya menjadi sasaran pihak keselamatan negara itu. - AGENSI/AFP

No comments: