NEW DELHI - Separuh daripada penduduk India terpaksa bergelap hari ini apabila negara itu mengalami gangguan bekalan elektrik yang dianggap terbesar di dunia, mengakibatkan semua operasi terhenti dan mencetuskan suasana kelam-kabut dalam kalangan masyarakat.
Sekitar 670 juta penduduk di 19 negeri terjejas apabila tiga grid utama yang membekalkan kuasa elektrik ke negeri terbabit, mengalami gangguan.
Kejadian ini berlaku kurang daripada 24 jam selepas enam negeri di wilayah utara negara menghadapi masalah serupa.
Pada ketika ini, bekalan kuasa di sebahagian besar bandar raya ini dan sesetengah kawasan di timur laut telah pulih.
"Gangguan bekalan kuasa ini adalah antara yang terbesar dalam sejarah dunia, mengakibatkan separuh penduduk India tiada bekalan elektrik pada
sebahagian besar hari ini," kata Ketua Pengarah Konfederasi Industri India Chandrajit Benerjee.
"Insiden ini hanya menunjukkan kegagalan sektor utiliti di negara ini. Kejadian berulang kegagalan sistem grid membawa imej negatif kepada India,
sementelah ketika negara berdepan kemerosotan sentimen susulan keadaan ekonomi semasa dan perkembangan berkaitan," katanya dalam kenyataan.
Sekalipun begitu katanya kerugian yang dialami pihak industri tidak dapat menandingi kesukaran penduduk.
Katanya kejadian hari ini yang berlaku selepas insiden serupa semalam, menunjukkan betapa pentingnya isu jurang yang semakin luas antara penawaran dan permintaan bekalan elektrik ditangani.  
Media tempatan melaporkan kira-kira 200 pekerja terperangkap dalam empat lombong arang batu bawah tanah di Bengal Barat apabila lif tidak dapat
beroperasi. Operasi menyelamat sedang dijalankan. - Bernama