250 maut, 1,300 cedera gempa gegar Iran
Laporan awal CNN menyebut tentang gempa bumi di barat laut Iran yang meragut lebih 250 nyawa. - Foto ihsan CNN
180 maut, 1,300 cedera gempa gegar Iran
Pasukan mencari dan menyelamat terlibat dalam kerja-kerja membantu mangsa gempa bumi di barat laut Iran semalam. - Foto ihsan BBC
TEHERAN - Dua kejadian gempa bumi yang melanda barat laut Iran petang semalam (waktu tempatan) menyebabkan sekurang-kurangnya 250 orang maut manakala lebih 1,300 cedera.
Kawasan teruk dilanda gempa bumi ialah Tabriz dan Ahar.
Laporan BBC menyebut 180 orang terbunuh manakala CNN pula melaporkan sekurang-kurangnya 250 orang korban.
Press TV Iran, milik kerajaan, melaporkan sekurang-kurangnya 250 orang terbunuh. Bandar Ahar merekodkan 45 kematian dan 500 lagi tercedera, demikian menurut IRNA.

Enam kampung musnah dan beribu-ribu mangsa terpaksa bermalam di pusat perlindungan kecemasan dan di tempat terbuka.
Sebanyak 60 kampung mengalami 50 peratus kerosakan dan angka kematian dijangka meningkat.

Kebanyakan mangsa dipercayai berada di kampung-kampung terpencil.
Laporan dari negara Asia Barat itu mengatakan talian telefon terputus menyebabkan usaha menyelamat menjadi semakin sukar.
Pusat Geologi Amerika Syarikat merekodkan gempa pada magnitude 6.4 dan 6.3.
Gegaran pertama berlaku di kawasan 37 batu (61 kilometer), ke timur laut Tabriz, pada jam 4.53 petang waktu tempatan. Gegaran kedua berlaku 11 minit kemudian, kira-kira 30 batu (50 kilometer) ke timur laut Tabriz.
“Gempa bumi menyebabkan ramai yang panik. Semua orang berlari ke jalan raya dan bunyi siren ambulanw berada di mana saja,” kata seorang penduduk Tabriz.
Menurut Ketua Jawatankuasa Tempatan, Khalil Saie, bandar sekitar Haris dan Varzaqan di daerah Azerbaijan Timur antara yang ramai mengalami kecederaan.

Berpuluh-puluh pasukan penyelamat dikejarkan ke kawasan ini namun usaha menyelamat amat terhad semalam kerana komunikasi telefon di banbar berkenaan terganggu.

Pasukan Bulan Sabit Merah Iran menganggarkan 16,000 orang diberi tempat perlindungan kecemasan selepas dipaksa meninggalkan rumah masing-masing.

Dalam kenyataan dikeluarkan menerusi laman web, Pejabat Presiden Mahmoud Ahmadinejad menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa dan menggesa pihak berkuasa agar segera membantu penduduk yang terjejas.

Seorang pegawai daerah telah memberi amaran kepada penduduk kawasan berkenaan tinggal di luar buat sementara waktu kerana bimbang akan berlaku gempa susulan.

"Terdapat sekitar 10 gempa susulan, yang terjadi sepanjang 10 minit kemudian," kata seorang penduduk.

Pada tahun 2003 gempa bumi di bandar Bam menyebabkan  25,000 orang maut.