AMMAN 11 Ogos - Satu pertempuran dilaporkan meletus antara tentera Jordan dan Syria di sempadan kedua-dua negara lewat semalam, namun tiada kematian dilaporkan setakat ini.
Kejadian itu merupakan insiden paling serius membabitkan kedua-dua negara sejak tercetus kebangkitan rakyat di Syria menentang Presiden Bashar al-Assad 17 bulan lalu.
Seorang aktivis Syria yang menyaksikan kejadian itu yang hanya dikenali sebagai Abdallah berkata, kenderaan berperisai turut digunakan dalam pertempuran yang berlaku di kawasan Tel Shihab-Turra, kira-kira 80 kilometer ke utara Amman, ibu negara Jordan.
Katanya, pertempuran itu tercetus selepas pelarian Syria cuba menyeberang masuk ke Jordan.
"Tentera Syria melepaskan tembakan ke arah Jordan ketika mengejar pelarian, menyebabkan tentera jiran itu bertindak balas.
"Pertempuran berlarutan selama sejam dan kenderaan berperisai Jordan menembak dua pengawal sempadan Syria," katanya.
Satu sumber Jordan yang enggan dikenali berkata, tentera Syria melepaskan tembakan di sepanjang sempadan, menyebabkan pertempuran meletus.
"Laporan awal mendapati tiada kematian di pihak tentera Jordan," kata sumber itu.
Beribu-ribu rakyat Syria dilaporkan telah melarikan diri ke Jordan sejak konflik meletus di Syria pada Mac tahun lalu. - REUTERS
No comments:
Post a Comment