SYDNEY - Seorang wanita yang dilahirkan tanpa tangan dan kaki selepas ibunya mengambil ubat thalidomide semasa hamil berjaya memenangi satu penyelesaian di Mahkamah Tinggi di sini melibatkan ganti rugi berjumlah berjuta-juta dolar daripada pengedar ubat itu dari Britain.
Wanita itu, Lynette Rowe, 50, dari Melbourne mendakwa keadaan yang menimpa dirinya disebabkan ibunya mengambil ubat thalidomide.
Thalidomide diberikan kepada wanita hamil pada tahun 1950-an dan 1960-an sebagai rawatan untuk sakit pada waktu pagi.
Namun, ubat tersebut kemudian ditarik balik daripada pasaran pada tahun 1961 kerana ia didapati menyebabkan kecacatan pada bayi.
Ubat tersebut menyebabkan ribuan bayi di seluruh dunia mengalami kecacatan.
Rowe membuat tuntutan undang-undang itu terhadap tiga pihak iaitu pembuat ubat dari Jerman, Grunenthal, syarikat Distillers Ltd., dari Britain yang menjual ubat tersebut di Australia dan Diageo Scotland Ltd.
Diageo Scotland Ltd. mempunyai aset dalam syarikat Distillers.
Peguam Rowe, Peter Gordon menyatakan anak guamnya itu telah mencapai penyelesaian dengan Diageo dan Distillers.
Syarikat Grunenthal enggan mencapai penyelesaian dalam kes tersebut.
"Jumlah penyelesaian masih rahsia tetapi saya boleh menyatakan ia mencukupi buat Rowe untuk seumur hidupnya," kata Gordon. - Agensi
No comments:
Post a Comment