Wednesday, July 18, 2012
KISAH NABI KHIDIR A.S.
Biarpun tidak disebut dalam al-Quran, Nabi Khidir AS menjadi sebutan umat Islam sejak zaman berzaman, malah ada juga yang percaya beliau masih hidup sehingga sekarang. Siapakah sebenarnya Nabi Khidir AS sehingga dianggap sedemikian rupa, sedangkan 25 orang Rasul yang dinyatakan Allah secara qatie (putus) di dalam Al-Quran semuanya telah wafat kecuali Nabi Isa AS. Kisah Nabi Khidir ada dinyatakan di dalam Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW.
.
Di dalam Al-Quran ada menceritakan pertemuan Nabi Musa AS dengan lelaki soleh yang disebut sebagai hamba-Nya yang diajarkan ilmu ladunni. Nabi Musa AS berguru beberapa ketika dengannya sebelum meneruskan dakwah baginda ke atas kaum Bani Israel. Lelaki itulah diyakini para ulama tafsir seperti Ibnu Abas, Ibnu Kathir dan Al-Tabari sebagai Nabi Khidir AS. Dalam bahasa Arab Khidir bermaksud hijau.
.
Berdasarkan dalil Al-Quran Nabi Khidir AS diwujudkan semasa zaman Nabi Musa AS, pada suatu ketika Nabi Musa berdakwah kepada kaumnya tentang ajaran Allah SWT, selesai Baginda berucap, bangkitlah seorang lelaki lalu bertanya: "Wahai Musa! Siapakah manusia yang paling pandai?" dengan pantas Nabi Musa AS menjawab: "Aku!". Lelaki itu bertanya lagi: "Adakah pernah engkau tahu, ada orang lebih berilmu daripada kau!". "Tidak!", jawab Nabi Musa AS. Tetapi jawapan Nabi Musa AS segera ditegur Allah SWT kerana ucapannya itu tercermin riak kesombongan. Lantas Allah SWT menurunkan wahyu menyatakan ada lagi seorang hambaNya yang lebih berilmu (Sahih Bukhari, Hadis ke 72).
Insaf dengan teguran Allah itu, bersama seorang pengikutnya, Yusya' Bin Nun, Nabi Musa AS bermusafir mencari lelaki soleh tersebut hingga menemuinya di satu tempat di mana bertemunya dua lautan. (QS Al-Kahfi:60-82). Dikatakan tempat itu ialah di pertemuan Teluk Suez dengan Teluk Akabah di lautan Merah. Ini kerana di situlah lokasi peredaran sejarah kehidupan Bani Israel yang dipanggil Daratan Sinai setelah mereka keluar dari bumi Mesir.
Sebagai Pesuruh Allah, Nabi Musa AS memiliki ketinggian ilmu sehingga baginda dapat menghadapi kezaliman dan keangkuhan Firaun, Haman dan Qarun. Malah Baginda juga berhadapan perbagai kerenah Bani Israel sehingga dikurniakan Mukjizat yang hebat seperti boleh membelah lautan, tongkat menjadi ular dan diturunkan makanan dari langit. Kata-kata Nabi Musa AS itu telah dicelah Allah SWT dan mengutuskan Nabi Khidir AS untuk menyedarkan Baginda bahawa masih terdapat hamba-Nya yang lebih berilmu.
Nabi Khidir AS adalah seorang yang soleh yang berperanan menyebarkan risalah Allah kepada orang disekitarnya. Tetapi Nabi Khidir AS tidak diutuskan seperti Nabi-Nabi lain yang bertaraf Rasul. Nabi Khidir AS ditugaskan membimbing Nabi Musa AS yang hidup dizamannya, sebagaimana kita sekarang wajib menyampaikan dakwah kepada orang lain disekeliling kita. Baginda tidak dikurniakan Mukjizat seperti Nabi Musa AS sebaliknya diajarkan ilmu secara Laduni. Hal ini turut dimiliki Para Wali Allah dan Alim Ulama yang dianugerahkan Allah Ilmu Makrifat serta Kasyaf. Golongan ini selalunya berhati-hati daripada mendabik dada dengan ilmu yang mereka miliki. Sifat warak dan merendah diri pada Baginda inilah yang diamalkan oleh Wali Allah sehingga orang ramai menyebut-nyebut namanya sampai ke hari ini.
Biarpun ada golongan Sufi mendakwa ada bertemu malah bersahabat dengan Nabi Khidir AS, tetapi sebenarnya yang wujud adalah semangat kewarakan Baginda, seperti Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani, namanya sentiasa disebut-sebut walaupun telah wafat ribuan tahun yang lampau. Begitu juga orang yang mati syahid seperti para Sahabat Rasulullah, Al-Quran sendiri menyebut mereka ini tidak mati walaupun hakikatnya jasad mereka telah disemadikan.
Oleh itu marilah kita ambil jalan tengah. Setiap manusia itu pasti mati, begitu juga Nabi Khidir AS. Memikirkan sama ada Nabi Khidir AS masih hidup atau tidak adalah lebih baik kita menanamkan sifat Nabi Khidir AS dalam diri kita. Ini kerana bukan saja Nabi Musa AS mesti mencari Nabi Khidir AS untuk menambah ilmu malah sesiapa saja perlu mencari Nabi Khidir AS. Orang yang mempunyai watak seperti Nabi Khidir AS memang sukar ditemui. Namun kita sering ditemui orang alim yang bertutur penuh hikmah dan kejernihan buah fikirannya dapat dijadikan pedoman hidup. Dipandang dari satu segi dikata wujud ramai Khidir dan dia tidak mati melainkan sentiasa silih berganti. Marilah kita amalkan semangat Nabi Khidir AS dalam menyebarkan ilmu tanpa sifat angkuh dan sombong. InsyaAllah!!.
.
KIRIMAN TIGOSOTIGO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment