Pages

Friday, June 29, 2012

Pemimpin PULO dipenjara

Pemimpin PULO dipenjara:
Salah satu insiden keganasan di selatan Thailand. Beberapa orang pelajar sebuah sekolah kerajaan di daerah Yarang, wilayah Pattani memeriksa tapak bilik darjah mereka yang musnah dalam serangan pada 7 Jun lalu. Dalam serangan itu, pemberontak bertindak membakar sekolah itu yang kebanyakan pelajarnya adalah beragama Islam. - REUTERS
BANGKOK 28 Jun - Mahkamah Rayuan Thailand semalam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas seorang anggota gerakan pemisah, Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO), Koseng Cheloh atau Useng (gambar) .
Akhbar Bangkok Post melaporkan, ia sekali gus membatalkan keputusan Mahkamah Jenayah Thailand sebelum ini yang menggugurkan semua dakwaan keganasan ke atas Useng.
Anggota pemisah itu didakwa terlibat dengan pemberontakan, mengumpul senjata dan merekrut anggota untuk melakukan aktiviti keganasan dengan tujuan untuk memecah belahkan lima wilayah di selatan negara daripada Thailand.
Mahkamah dimaklumkan antara 1968 hingga 10 Februari 1998, Useng dan beberapa anggota PULO lain turut memeras ugut wang perlindungan daripada ahli perniagaan di lima wilayah tersebut dan menggunakan wang berkenaan untuk membeli senjata bagi menjalankan aktiviti keganasan.
Mahkamah juga dimaklumkan bahawa Useng dikenal pasti pada 1998 oleh seorang lagi anggota PULO, Hayee Dao yang ditangkap kerana disyaki mengetuai PULO baru, sebagai pemimpin sayap PULO yang beroperasi di bandar-bandar.
Dia ditangkap pada 7 Disember 2005 atas dakwaan membunuh.
Useng juga gagal membuktikan dakwaan dia tinggal di Malaysia selama 10 tahun dan melanjutkan pelajaran di Syria serta Libya selama beberapa tahun, kata mahkamah.
Mahkamah Jenayah menggugurkan kes terhadap Useng pada 1 Disember 2008 atas alasan bukti yang dikemukakan terhadapnya sangat meragukan.
Bagaimanapun, pihak pendakwa raya bertindak membuat rayuan ke atas keputusan itu.
Sebelum ini beberapa pemimpin dan anggota PULO yang ditangkap, telah dikenakan hukuman penjara.
Bekas komander lapangan PULO, Da-oh Thanam, 55, dikenakan hukuman penjara seumur hidup atas dakwaan menjalankan aktiviti gerakan pemisah antara 1968 hingga 1998.
Dua anak buahnya, Budo Betong, 75, dan bekas ketua unit senjata PULO, Sama-ae Thanam, 64, turut dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. - AGENSI

'via Blog this'

No comments: