Pages

Friday, June 29, 2012

Bangkai pesawat hilang 60 tahun ditemui

ANCHORAGE (ALASKA): Bangkai pesawat yang ditemui di satu glasier berhampiran Anchorage awal bulan ini dipercayai sebuah kapal terbang yang hilang pada 1950-an bersama lebih 50 orang penumpang kata pihak berkuasa tentera semalam. 

Jurucakap Jabatan Pertahanan Amerika Syarika, Kapten Jamie Dobson, berkata beberapa bukti di kawasan bangkai dikaitkan dengan pesawat Globemaster C-124 yang hilang di wilayah itu pada November 1952.
“Beberapa bukti di bangkai pesawat ada sama dengan Globemaster G-124 milik Tentera Udara Amerika Syarikat yang terhempas pada 1952,” kata Dobson.
“Kami masih lagi menyiasat kemungkinan lain tetapi sehingga kini kami mengetahui bahawa kebanyakan bukti adalah dikaitkan dengan pesawat terbabit.” 

Hubungan kali terakhir dengan pesawat itu adalah ketika ia terbang di Pulau Middleton di Teluk Alaska, 257 kilometer ke tenggara Anchorage. 

Pesawat itu membawa 41 penumpang dan 11 krew, termasuk juruterbang, Kapten Kenneth J. Duval, 37 dari Vallejo, California dan juruterbang kedua, Kapten Alger M.Cheney, 32 dari Lubeck, Maine. 

Bangkai pesawat ditemui beberapa hari selepas kemalangan di Gunung Gannett tetapi tiada tanda-tanda ada mangsa terselamat dan keadaan cuaca buruk menyukarkan operasi ketika itu. Pesawat itu terbiar dan operasi selepas itu gagal untuk mengesan bangkai pesawat. 
Kini selepas hampir 60 tahun, bangkai terbabit ditemui semula pada 10 Jun oleh krew sebuah helikopter Pengawal Keselamatan Tentera Alaska apabila ia terbang rendah di kawasan berhampiran Knik, sebuah glasier di utara Pergunungan Chugach 64 kilometer ke Anchorage. 

Selepas misi mencari dan menyelamat tambahan oleh Pasukan Tugasan Bersama Alaska dan Pengawal Kebangsaan Alaska, pihak berkuasa mengenal pasti pesawat itu sebuah pesawat tentera lama. 

Pihak berkuasa pada awalnya gagal mengenal pasti pesawat itu menyebabkan pasukan penyiasat JPAC dihantar untuk melakukan siasatan.– Agensi

No comments: