Pages

Wednesday, June 13, 2012

Lagi patung Terracotta ditemui

Gambar diambil pada 9 Jun 2012 menunjukkan ahli-ahli arkeologi China melakukan kerja-kerja di tapak penggalian terbaru patung tentera Terracotta di Qin Shihuang di wilayah Shaanxi. - AFP
BEIJING 11 Jun - Penggalian terbaru di China yang dimulakan pada 2009 berjaya menemui koleksi baru patung tentera Terracotta berusia 2,000 tahun dan beratus-ratus artifak lain.
Ahli arkeologi semalam mendedahkan 120 patung tentera Terracotta yang baru ditemui itu di Tapak Warisan UNESCO Qin Shihuang di wilayah Shaanxi.
Ia merupakan penggalian ketiga di kawasan tersebut selepas ekskavasi pada 1974 dan 1985.
Artifak yang ditemui di barat China itu ditanam bersama Maharaja Pertama Dinasti Qin pada kurun ketiga sebelum Masihi.
Penemuan terbaru itu termasuk beberapa barangan yang belum pernah dilihat sebelum ini seperti dram perang dan alat perisai yang dicat.
Lebih 310 barangan kecil ditemui dalam penggalian terbaru itu serta 12 kuda diperbuat daripada tanah liat.
Selain itu, satu kotak peralatan untuk membaiki kereta kuda, busur silang dan beberapa barangan dicat menggunakan cat ungu khas buatan China turut ditemui.
Penggalian itu dijangka selesai dilakukan dalam tempoh tiga tahun lagi.
Patung-patung tentera berkenaan akan dibawa ke muzium untuk pembersihan sebelum dipamerkan bersama patung tentera yang ditemui sebelum ini.
Lebih 1,000 patung dengan mimik muka dan gaya rambut berbeza telah ditemui di kawasan galian tersebut sebelum ini. - AGENSI

No comments: