Pages

Wednesday, June 13, 2012

25 korban terbaru kekacauan di Myanmar

SITTWE: Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dalam keganasan etnik dan agama di Myanmar ketika ketegangan meningkat berpunca daripada kes rogol seorang wanita beragama Buddha di negeri Rakhine. 

“Sekurang-kurangnya 25 orang maut dalam kekacauan,” kata seorang pegawai kanan kerajaan tanpa memberitahu bagaimana kematian berlaku atau sama ada mangsa beragama Buddha atau Muslim.
Sebagai langkah keselamatan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membawa keluar 40 pekerjanya termasuk warga asing dari kawasan berkenaan.
Perintah darurat diisytiharkan di negeri itu yang dilanda rusuhan disebabkan kes perkosa berkenaan. Ketegangan ini dianggap satu ujian terhadap kerajaan Myanmar yang cuba memperkenal dasar pembaharuan sejak tahun lalu. 

Seramai 41 orang lagi cedera dalam kekacauan sejak lima hari lalu. Kematian itu tidak mengambil kira 10 Muslim yang dibunuh pada 3 Jun lalu oleh sekumpulan pengikut Buddha yang membalas dendam perogolan wanita berkenaan di Rakhine. 

Pertubuhan hak asasi manusia bimbang angka kematian mungkin lebih tinggi daripada angka rasmi. Wartawan agensi berita tidak dapat melawat kawasan terbabit atas sebab keselamatan. 

Tembakan kedengaran di Sittwe semalam meskipun ramai anggota keselamatan melakukan rondaan, kata seorang wartawan di sini. Kepulan asap kebakaran juga memenuhi ruang udara. 
Di Bangladesh, polis menyatakan seorang Muslim yang berjaya melepasi sempadan tetapi ditembak pengawal sempadan Myanmar, meninggal dunia di hospital. 

Amerika Syarikat segera menggesa langkah diambil bagi menghentikan ketegangan dengan Setiausaha Negara, Hillary Clinton menggesa semua pihak bertenang. 

Ketika memberi amaran bahawa keganasan semakin tidak terkawal, pegawai kanan Human Right’s Watch (HRW) menggesa pemerhati antarabangsa ditempatkan di Rakhine. – AFP

No comments: