Pages

Sunday, June 24, 2012

Assad keluarkan dekri tubuh kerajaan baharu


AKSI Assad ketika berucap pada persidangan Parlimen di Damsyik 3 Jun lalu.


DAMSYIK - Presiden Syria, Bashar al-Assad semalam mengeluarkan dekri untuk membentuk kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri Syria, Dr. Riad Hijab, kurang dua bulan selepas pilihan raya parlimen yang kontroversi diboikot oleh parti pembangkang.
Menteri Luar, Walid al-Muallem serta Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri Syria kekal dengan jawatan masing-masing.
Dekri itu turut mewujudkan beberapa kementerian baharu seperti Kementerian Perdagangan Dalaman dan Pelindungan Pengguna, Kementerian Ekonomi Luar serta Kementerian Pembangunan.
Hijab yang sebelum ini merupakan Menteri Pertanian dilantik sebagai Perdana Menteri ketika keganasan terus berleluasa di Syria.
Semalam, sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dalam serangan tentera sementara 119 orang lagi, termasuk 69 orang awam terbunuh pada Jumaat, lapor Pemantau Hak Asasi Manusia Syria.
Sejak bermulanya kebangkitan rakyat pada Mac 2011, keganasan telah membunuh lebih 15,000 penduduk negara tersebut. - AFP

No comments: