Pages

Tuesday, May 8, 2012

Terkejut lihat bumbung terbang

Terkejut lihat bumbung terbang - Perak - Sinar Harian:

Terkejut lihat bumbung terbang
Sebahagian peralatan rumah yang rosak dilonggokkan di hadapan rumahnya ketika membersihkan rumahnya, semalam
IPOH - Seramai 11 sekeluarga di Kampung Sungai Rokam di sini berhadapan saat mencemaskan apabila sebahagian bumbung rumah mereka diterbangkan angin dalam kejadian ribut, kelmarin.

Ketika kejadian pada jam 4.30 petang, salah seorang mangsa, Mohd Amar Haziq Mohd Rashid, 18, bersama adik-beradik sedang berehat di ruang tamu.

Menurutnya, tiba-tiba angin kencang mula bertiup menyebabkan rumahnya bergegar kuat dan air hujan mula membasahi peralatan rumah.

“Dalam sekelip mata, saya di­kejutkan dengan bunyi kuat dan melihat atap di bahagian bilik tidur, dapur dan ruang tamu diterbangkan ribut serta tersangkut di pokok berhampiran.

“Saya berlari menyelamatkan ­nenek, Asyikin Mohd Rashid, 82, yang berada di bahagian dapur. Mujurlah kami selamat dan tidak mengalami kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Rumahnya merupakan antara 12 rumah di Kampung Sungai Rokam rosak teruk di bahagian bumbung dalam kejadian ribut itu.

Mohd Ammar Haziq berkata, kejadian kedua berlaku terhadap keluarganya itu disifatkan sebagai yang terburuk.

“Jiran sebelah memberitahu kelihatan angin seperti puting beliung datang sekelip mata menyebabkan kami tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya.

Sementara itu, ayahnya, Mohd Rashid Zainol Abidin, 52, berkata, dia terkejut apabila melihat keadaan rumah selepas kejadian.

“Saya menerima panggilan Mohd Ammar Haziq kira-kira jam 5 petang memaklumkan kejadian berkenaan dan saya risaukan keselamatan mereka.

“Kami mengalami kerugian lebih RM5,000 apabila semua atap diterbangkan dan sistem pendawaian juga keseluruhannya rosak,” katanya.

Mohd Rashid berkata, kejadian kedua turut berlaku pada jam 2 pagi semalam namun, tiada kerosakan.

No comments: