Pages

Tuesday, May 8, 2012

Hajat nenek jenguk cucu tidak sampai

myMetro | Hajat nenek jenguk cucu tidak sampai:


SETIU: Hajat seorang nenek menjenguk cucu kesayangannya tidak kesampaian apabila maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika menunggang motosikal bersama suaminya di Kampung Rhu Sepuloh, Kilometer 58, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, mangsa, Mek Zainab Mahmud, 46, yang membonceng motosikal itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas dirempuh kereta Proton Gen 2 manakala suaminya, Rahim Mat Arifin, 55, putus kaki kanan dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Sebuah Toyota Vios yang melalui jalan itu gagal mengelak Mek Zainab yang tercampak di tengah jalan lalu menggilis mangsa sebelum kereta itu terbabas dan melanggar pula motosikal Yamaha TZM di laluan bersebelahan menyebabkan penunggang motosikal itu, Mohd Firdaus Shaari, 22, dari Kampung Bari Kecil, di sini, juga mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Anak mangsa, Marlina Yusof, 28, yang tinggal di Kampung Wa, Bukit Besi, Dungun berkata, sebelum kejadian, dia sempat berbual dengan arwah ibunya menerusi telefon.

“Arwah memberitahu mahu berjumpa empat anak saya kerana rindu berikutan sudah enam bulan tidak bertemu.

“Saya terkilan kerana hajat arwah tidak kesampaian apabila dia terlebih dulu meninggal dunia,” katanya ketika ditemui HSNZ, kelmarin.
Marlina berkata, ibunya turut memberitahu sudah membeli kain putih bercorak hitam untuk dibuat baju kurung sempena Aidilfitri nanti.

“Arwah juga memberitahu sudah membeli beberapa kain pasang untuk anak-anak saya sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.
“Minggu lalu, saya dan suami ada merancang berjumpa ibu tetapi terbantut kerana terpaksa menyelesaikan beberapa urusan lain,” katanya.

No comments: