Pages

Thursday, May 10, 2012

Tentera Syria serbu perkampungan al-Tamanaa

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

BEIRUT 8 Mei - Tentera Syria, hari ini menyerbu sebuah perkampungan di wilayah Idlib sambil melepaskan tembakan dan bedilan, menyebabkan dua orang awam terbunuh.
Serbuan tentera di perkampungan al-Tamanaa sepanjang malam itu menyebabkan seorang lelaki dan seorang wanita berumur 50 tahun terbunuh, menurut ketua Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, Rami Abdel Rahman.
Wilayah utara Idlib yang bersempadan dengan Turki itu merupakan kubu kuat Tentera Pembebasan Syria dan penentang rejim Presiden Bashar al-Assad.
Seorang lagi penduduk awam turut dilaporkan maut akibat tembakan penembak tepat di bandar Homs, menurut Abdel Rahman sambil menambah kata, mangsa ditembak mati di tempat pemeriksaan keselamatan di Qusayr.
Semalam, seramai 17 penduduk awam, tiga pemberontak dan lima tentera maut akibat serangan tentera rejim ketika Syria mengadakan pilihan raya Parlimen yang dipulau oleh pembangkang dan disifatkan sebagai 'tidak munasabah' oleh Barat.
Penganalisis politik tidak menjangka pilihan raya itu akan membawa perubahan politik di Syria selepas gencatan senjata yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikuatkuasakan pada 12 April lalu gagal.
Penduduk Syria di beberapa bandar dan perkampungan di seluruh negara termasuk beberapa kediaman di ibu negara Damsyik memulaukan pengundian sebaliknya mengadakan mogok besar-besaran.
Premis-premis perniagaan ditutup dan beberapa jalan raya sunyi sepi di Hama, Idlib, utara Aleppo, Daraa dan Damsyik, menurut aktivis. - AFP

No comments: