Pages

Wednesday, May 2, 2012

Siapa bakal terajui Mesir?

Siapa bakal terajui Mesir? - Global - Sinar Harian:


Bekas perdana menteri Mesir,  Mubarak
Bekas perdana menteri Mesir, Mubarak
Pilihan raya presiden pertama di Mesir telah menjadi topik hangat untuk diperkatakan berikutan sebelum ini,10 calon dilarang untuk bertanding.

Selepas mengkaji semula kelayakan mereka yang berhasrat untuk turun ke gelanggang, akhirnya, 13 daripada 23 calon dibenarkan bertanding untuk merebut kerusi bekas presiden Hosni Mubarak yang digulingkan kira-kira 14 bulan lalu.

Bekas perdana menteri zaman pemerintahan Mubarak, Ahmed Shafiq turut tersenarai walaupun pada mulanya namanya dikecualikan tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya membuat keputusan akhir membenarkan beliau bertanding semula.

Pilihan raya pusingan pertama itu akan diadakan pada 23 dan 24 Mei depan, iaitu lebih setahun selepas kebangkitan revolusi rakyat.

Antara calon pilihan lain yang akan memberi saingan hebat adalah Pengerusi Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) di bawah Ikhwanul Muslimin, Mohammed Mursi, bekas Ketua Liga Arab, Amr Moussa dan calon parti bebas, Abdel Moneim Aboul Fotouh.

Dalam satu kenyataan, Ketua Suruhanjaya Tinggi Pilihan Raya Presiden, Farouk Sultan berkata, badan tersebut memutuskan untuk menerima rayuan Shafiq yang berani menentang pengecualian beliau.

Sebelum ini, pencalonan beliau dilucutkan berikutan undang-undang yang ditetapkan tidak membenarkan mana-mana pegawai dari era pemerintahan Mubarak bertanding.

Menerusi rayuannya, beliau mendakwa undang-undang sementara diluluskan Majlis Tertinggi Tentera adalah tidak berperlembagaan dan perkara itu telah dirujuk kepada Mahkamah Perlembagaan Mesir.

 Jurucakap Ikhwanul Muslimin, Mahmoud Ghozlan bertindak mengkritik jawatan kuasa tersebut yang dianggap tidak tetap pendirian.

“Mereka sepatutnya bertindak sebagai badan berkecuali tetapi masih keliru untuk membuat keputusan tepat. Perkara ini tetap mengikut undang-undang dan kita tidak mempunyai hak untuk mempertikaikan sama ada ia perlembagaan yang sah atau tidak,” menurutnya.

Tetapi, Sultan telah memberi jaminan awal bahawa mereka tidak menentang atau membuat konfrontasi dengan mana-mana calon yang telah dilucutkan kelayakan untuk membuat rayuan.

Mereka yang dilucutkan kelayakan untuk bertanding termasuklah, bekas perisik, Omar Suleiman, calon awal perdana menteri Ikhawanul Muslimin, Khairat al-Shater dan calon parti konservatif Islam, Hazem Abu Ismail.

Menurut pegawai kerajaan, Shater dilarang bertanding kerana sabitan jenayah, manakala Abu Ismail pula mengalami masalah kelayakan berikutan arwah ibunya didakwa pemegang kewarganegaraan Amerika Syarikat.

Suleiman juga dikeluarkan daripada senarai calon kerana dia hanya memperoleh 31 sokongan daripada 30,000 yang diperlukan bagi melayakkannya bertanding.

 Keputusannya untuk bertanding pada awal bulan ini mencetuskan kemarahan kebanyakan penduduk di negara itu terutamanya orang Islam.

Mereka menuduhnya sebagai sebahagian bekas pegawai utama Mubarak yang mahu membangkitkan semula rejim bekas presiden digulingkan tersebut.

Calon presiden yang bakal menggantikan Mubarak dilihat datang dari pelbagai latar belakang dan mewakili kumpulan masyarakat di negara itu.

Dalam perkembangan terbaru, reformis Mesir, Mohamed ElBaradei yang sebelum ini pernah menyatakan bahawa beliau tidak mahu bertanding untuk jawatan presiden kembali menyertai arena politik dengan menubuhkan parti baru didakwa bertujuan menyatukan penduduk Mesir.

Beliau menyatakan Parti Perlembagaan yang belum didaftarkan secara sah itu juga berperanan untuk menyelamatkan revolusi 25 Januari dari peralihan demokratik kotor.

“Saya berharap kewujudan parti ini akan membolehkan Mesir membina negara mengikut dasar demokrasi dan keadilan,” jelasnya lagi.

Pada masa ini, Mesir masih lagi ditadbir oleh Majlis Tentera walaupun dalam pilihan raya Parlimen baru-baru ini, parti di bawah Ikhwanul Muslimin dan parti ultrakonservatif, Salafi telah memperoleh majoriti 70 peratus.

Keadaan tersebut menyebabkan sebilangan rakyat bangkit mengadakan protes kembali menuntut pemerintah tentera melepaskan kuasa mereka.

Bagi meredakan ketegangan, kelmarin kerajaan sementara pimpinan Jeneral Hussein Tantawi itu memberi jaminan akan merombak Kabinet tetapi adakah ia sekadar janji kosong untuk memuaskan hati semua penduduk di Mesir?

No comments: