Pages

Wednesday, May 2, 2012

3 maut, 3 parah bas rempuh penghadang

Berita Harian Online | 3 maut, 3 parah bas rempuh penghadang:

KEADAAN bas persiaran yang rosak teruk selepas terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) di Bukit Beruntung, Rawang, jam 3.20 pagi tadi. Kemalangan itu meragut tiga nyawa termasuk pemandunya. - Foto Noor Hazwan Hariz Mohd

HULU SELANGOR: Hasrat 48 penduduk Kampung Sungai Lah, Chenderiang, Perak untuk bercuti ke Melaka sempena cuti Hari Pekerja semalam tidak kesampaian apabila tiga daripada mereka maut selepas bas persiaran dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer (km) 434, Lebuh Raya Utara Selatan arah ke selatan, awal pagi semalam. 

Mangsa yang maut dalam kejadian jam 1.50 pagi itu ialah dua penumpang, K Virmala, 55 dan Setapa a/k Mat, 46 serta pemandu bas, S Velmuruvu, 45 akibat tersepit di bawah bas. Seramai 24 lagi penumpang cedera termasuk tiga parah.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi, berkata kemalangan berlaku selepas bas terbabit merempuh tembok penghadang di plaza tol baru Sungai Buaya-Rawang berhampiran Bukit Beruntung sebelum terbalik.
Katanya, pemandu bas dipercayai tidak perasan kewujudan tembok penghadang itu yang dalam pembinaan berikutan keadaan jalan yang gelap. 

“Akibat rempuhan, bas itu terbalik dan cermin depannya pecah menyebabkan pemandu serta dua penumpang tercampak keluar dan kemudian tersepit di bawah bas. Ketiga-tiga mangsa mati di tempat kejadian,” katanya. 

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan mengenai punca sebenar kemalangan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Seramai 24 penumpang yang cedera, termasuk tiga parah dihantar ke Hospital Sungai Buluh untuk rawatan. Ketiga-tiga mangsa yang parah dilaporkan dalam keadaan stabil. 
Sementara itu, anak kedua Vimala, K Ravinathan, 37, yang ditemui di bilik mayat Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB), berkata ibunya amat teruja apabila dipelawa rakannya menyertai rombongan ke Melaka kerana hanya dikenakan bayaran RM50. 

“Ibu saya penoreh getah dan pendapatannya tidak seberapa. Jadi bila dia dapat peluang pergi ke Melaka dengan bayaran hanya RM50, dia sangat teruja,” katanya. 

Sementara itu, tiga wartawan sambilan daripada satu keluarga yang dalam perjalanan membuat liputan kemalangan itu, cedera selepas terbabit dalam kemalangan berasingan di persimpangan ke Tol Rawang, awal pagi semalam. 

Dalam kejadian pada jam 3 pagi itu, tiga beranak terbabit, Sarinah Salleh, 46 dan dua anaknya, Ina Shamsuri Ibrahim, 26 serta Afiq Shahif Ibrahim, 24 dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4X4), yang datang dari arah bertentangan.

No comments: