Pages

Wednesday, May 2, 2012

AS tempatkan jet F-22 di UAE

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


Gambar fail bertarikh 1 Mac 2011 merakamkan jet pejuang F-22 Raptors yang ditempatkan di UAE ekoran peningkatan ketegangan antara Iran dan negara jiran pro-AS itu. - AFP
WASHINGTON 1 Mei - Amerika Syarikat (AS) menempatkan jet pejuang canggihnya, F-22 Raptors di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) ekoran peningkatan ketegangan antara Iran dan negara jiran pro-AS itu.
Seorang pegawai AS yang enggan dikenali itu, bagaimanapun tidak menyatakan jumlah jet pejuang itu yang dihantar ke pangkalan udara al-Dhafra, UAE.
Sementara itu, seorang jurucakap Tentera Udara AS mengesahkan sejumlah jet pejuang F-22, jet paling canggih AS, ditempatkan di rantau itu, tetapi tidak menyebut mana-mana pangkalan atau mengenai Iran.
"Tentera Udara AS telah menempatkan jet pejuang F-22 di barat daya Asia bagi memperkuatkan hubungan ketenteraan, mempromosi keselamatan serantau, memperbaiki operasi gabungan taktikal udara dan meningkatkan pertahanan dan peralatan tentera," kata Mejar Mary Danner-Jones.
Jurucakap Pentagon, Kapten John Kirby memberitahu wartawan bahawa tindakan itu adalah 'penempatan biasa' dalam membuat perubahan terhadap tentera AS di rantau itu ekoran pengunduran tentera Amerika dari Iraq.
Pertikaian wilayah antara Iran dan UAE ke atas tiga pulau di Teluk memuncak sejak akhir-akhir ini dengan Washington menyuarakan sokongannya kepada pendirian Abu Dhabi.
Selain pertikaian wilayah, ketegangan mengenai program nuklear Iran turut memuncak di mana AS, Eropah dan Israel mendakwa Teheran membangunkan senjata nuklear. - AFP

No comments: