|
JAKARTA - Sejumlah 15 anggota pasukan mencari dan menyelamat dari Rusia semalam dibenar bergabung dengan pasukan penyelamat Indonesia dalam operasi mencari dan mengeluarkan mangsa di tempat kejadian nahas pesawat awam Sukhoi Superjet-100 di Gunung Salak, Bogor, Jawa Barat.
Pasukan dari Rusia itu bagaimanapun hanya diberi masa tiga hari untuk turut bersama dalam operasi itu dengan misi utama untuk membantu mengesan barangan pesawat itu.
Komandan Markas Suryakencana Bogor, Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkatan Darat, Kolonel Putranto berkata, pasukan Rusia itu terdiri daripada enam anggota utama dan sembilan pembawa barang.
Mereka tidak diizin untuk membawa kotak hitam atau benda apapun selain tidak dibenar menjalankan operasi pencarian melalui udara, katanya.
Sehingga kini, pasukan penyelamat belum menemui kotak hitam pesawat itu, yang terhempas di Gunung Salak, pada Rabu lalu bersama 45 penumpang di dalamnya.
Tragedi tersebut berlaku selepas pesawat didapati hilang daripada radar di menara kawalan udara pada kira-kira pukul 2.50 petang.
Operasi semalam antara lain menemui tiga lagi mayat penumpang pesawat itu serta 75 peratus daripada bangkai pesawat itu di bahagian dasar jurang gunung itu.
Bahagian bangkai pesawat yang baru ditemui itu belum dapat diperiksa keseluruhannya kerana bimbang ada serpihan bangkai pesawat yang bertabur di kawasan lebih tinggi akan menimpa anggota penyelamat.
Pada akhir hari kelima operasi, dengan tambahan lima beg mayat lagi, sejumlah 21 beg mayat berisi bahagian tubuh mayat penumpang dan barangan milik mereka telah dihantar ke hospital polis di Jakarta untuk dikenal pasti sebelum diserah kepada anggota keluarga untuk pengkebumian.
Daripada sejumlah beg mayat itu, tiga beg mayat berisi barangan milik mangsa. - Bernama
No comments:
Post a Comment