KUALA LUMPUR: Demi cinta terhadap seorang 'jeneral' dalam tentera Amerika Syarikat yang dikenali menerusi laman sosial, seorang ibu tunggal warga tempatan sanggup menjual harta bendanya dan menyerahkan hasil jualan berjumlah RM5 juta itu kepada lelaki berkenaan tanpa menyedari dirinya ditipu oleh satu sindiket antarabangsa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur ACP Izany Abdul Ghany berkata sejak 2010, wanita berusia 63 tahun itu yang datang daripada keluarga berada, sanggup menjual banglonya di Bangsar di sini, dengan nilai RM3.5 juta manakala RM1.5 juta lagi diperoleh dengan menjual tanah miliknya, berhutang dengan rakan serta saudaranya untuk diberi kepada lelaki itu.
"Polis telah menjejaki sindiket itu sejak anak wanita itu membuat laporan polis pada September tahun lepas, manakala ibu tunggal itu enggan bekerjasama kerana yakin terhadap cintanya itu sungguhpun siasatan mendapati 'jeneral' itu sebenarnya tidak wujud," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Izany berkata hasil intipan sejak lapan bulan lalu, polis menahan 15 lelaki warga Nigeria dan seorang wanita tempatan berusia 50 tahun, yang menjadi pemilik akaun bank untuk transaksi wang mangsa, masing-masing pada Isnin dan semalam, di sekitar Kota Damansara, Subang Jaya dan ibu negara.
Izany berkata hasil intipan sejak lapan bulan lalu, polis menahan 15 lelaki warga Nigeria dan seorang wanita tempatan berusia 50 tahun, yang menjadi pemilik akaun bank untuk transaksi wang mangsa, masing-masing pada Isnin dan semalam, di sekitar Kota Damansara, Subang Jaya dan ibu negara.
Siasatan polis mendapati kesemua 15 warga Nigeria itu, berusia antara 25 dan 30 tahun, adalah pelajar di kolej swasta di sini dan mereka ditahan reman sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan kes penipuan internet mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, kata Izany.
Beliau berkata wanita tempatan itu pula bersetuju untuk bekerjasama dengan polis dan pihaknya mendapati wanita itu adalah kekasih seorang daripada anggota sindiket yang ditahan.
Katanya wanita itu menjadi keldai akaun kepada sindiket berkenaan dengan menggunakan namanya untuk mendaftarkan dua syarikat tempatan serta membuka lima akaun bank di sini.
"Kesemua wang mangsa dimasukkan ke dalam akaun wanita itu dan wang mangsa berjumlah RM5 juta dipindahkan terus ke Nigeria. Transaksi terakhir dibuat wanita itu pada pagi Isnin di sebuah bank di sini bernilai RM50,000," katanya.
Izany berkata dalam serbuan yang diketuai Inspektor Mohd Mahathir Abdullah Sapawi itu, 11 buku akaun pelbagai bank, sembilan kad ATM, tiga modem, 14 komputer riba dan 20 telefon bimbit dirampas. - BERNAMA
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment