LOS ANGELES - Legenda pop wanita Amerika Syarikat (AS), Whitney Houston (gambar) mati mungkin disebabkan pengambilan dadah, ubat-ubatan dan minuman keras yang berlebihan, menurut laporan koroner dalam dokumen setebal 42 muka surat.
Menurut dokumen tersebut, dia mengambil dadah dan ubat-ubatan itu sebelum lemas dengan mukanya menghadap ke dalam tab mandi, kata pegawai koroner dalam satu laporan terbaharu.
Ia memberikan butiran terperinci berbanding laporan awal yang dikeluarkan sebelum ini.
Pada bulan lalu, satu laporan siasatan menyimpulkan bahawa Houston maut kerana lemas secara tidak sengaja di dalam tab mandi selepas mengambil kokain yang mungkin menyebabkannya diserang sakit jantung.
"Dia mungkin mengambil sejenis dadah, ubat-ubatan preskripsi, ubat-ubatan yang diambil tidak menerusi kaunter perubatan sah dan alkohol dengan dos berlebihan," kata laporan penuh yang dikeluarkan kelmarin oleh Pejabat Koroner Los Angeles County.
Menurut laporan itu, tiada sebarang tanda-tanda perbuatan khianat terhadap penyanyi yang berusia 48 tahun itu.
Laporan tersebut menyatakan pembantu peribadi Houston menemui dia tidak bernyawa di dalam bilik Hotel Beverly Hilton pada 11 Februari lalu beberapa jam sebelum Anugerah Grammy berlangsung.
"Pembantu peribadi memasuki bilik mandi dan dia menemui Houston tertiarap dengan mukanya di dalam tab mandi, serta tidak sedarkan diri. Tab mandi dipenuhi air dan terdapat air di lantai bilik air," menurut laporan itu.
Butiran lanjut mengenai keadaan tubuh Houston menyatakan terdapat darah yang keluar dari hidungnya.
Laporan tersebut menyatakan, satu bahan yang kemudian dipastikan sebagai kokain turut ditemui dalam bilik tidurnya.
Pelbagai botol ubat juga ditemui dengan 12 ubat preskripsi yang diperoleh daripada lima doktor yang berlainan.
Para penyiasat turut menemui satu lubang pada septum dalam hidungnya yang mungkin disebabkan penggunaan kokain bagi tempoh yang lama. - AFP
No comments:
Post a Comment