Pages

Friday, April 6, 2012

Ulama suspek bom Hat Yai


NARATHIWAT: Polis Thailand menahan empat suspek berhubung siri serangan bom di selatan negara itu, kata pihak berkuasa semalam.
Menurut polis, tiga lelaki Muslim diberkas petang kelmarin di sebuah rumah di daerah Rueso, Narathiwat, dalam operasi membabitkan 50 polis dan anggota separa tentera.

Ketua Polis Daerah Rueso, Satarnfa Wamasing, berkata sebuah trak pikap yang dicuri dan digunakan dalam serangan di Yala dilihat diletakkan di depan rumah seorang daripada suspek.
“Nombor pendaftaran trak itu diletakkan pada sebuah kereta curi yang diletupkan berhampiran hotel di Hat Yat pada Sabtu lalu,” katanya.

Menurut Satarnfa, suspek masih menafikan pembabitan dalam serangan yang mengorbankan 15 orang itu, tetapi polis mempunyai bukti mereka bertemu untuk merancangnya.

Untuk mengukuhkan lagi bukti, kata Satarnfa, polis turut menyiasat rekod panggilan telefon suspek terbabit.
“Ada individu lain terbabit dalam serangan ini tetapi saya tak dapat nyatakan jumlahnya,” katanya.

Menurut Satarnfa, seorang daripada suspek adalah ulama yang mempunyai sembilan waran tangkap.
Suspek keempat, kata Satarnfa, ditahan di rumahnya di Yala - juga kelmarin - selepas dia dirakam kamera keselamatan menunggang motosikal mengambil pemandu satu daripada kenderaan yang diletupkan.

“Dia juga menafikan terbabit dalam serangan itu,” katanya. Serangan pada Sabtu lalu menandakan serangan balas ketara pemberontak yang setakat ini mengorbankan ribuan nyawa sejak 2004.

Kawasan selatan Thailand memang sering bergolak dengan serangan bom berlaku hampir setiap hari.

Ketika ini, selatan Thailand yang ramai penduduk beragama Islam itu diletakkan di bawah undang-undang darurat. - AFP

No comments: