Pages

Friday, April 6, 2012

Ular paksa juruterbang mendarat cemas


DARWIN: Seorang juruterbang Australia berkata, dia terpaksa membuat pendaratan cemas seperti adegan filem Hollywood selepas seekor ular keluar dari bawah papan pemuka dan menyelinap di kakinya ketika menerbangkan pesawat kargo secara bersendirian.
Braden Blennerhassett yang tidak pasti sama ada ular itu berbisa atau sebaliknya semalam berkata, jantungnya berdegup kencang ketika dia cuba memandu pesawat itu kembali ke Darwin di utara negara berkenaan.

Menurutnya, kepala ular itu tiba-tiba tersembul dari bawah papan pemuka beberapa kali dan keadaan semakin buruk apabila haiwan itu menjalar di kakinya ketika pesawat mendekati lapangan terbang. “Saya pernah melihatnya sekali dalam filem, tetapi tidak pernah dalam pesawat,’ katanya kepada stesen penyiaran Australia merujuk kepada filem ‘Ular dalam Kapal Terbang” di mana ular berbisa dilepaskan dalam pesawat sebagai sebahagian plot untuk membunuh. Juruterbang Air Frontier berusia 26 tahun itu memandu pesawat dua enjin Beechcraft Baron G58 bersendirian dan baru berlepas dari Lapangan Terbang Darwin untuk menghantar kargo ke kawasan penempatan terpencil Orang Asli ketika dia nampak ular itu.
Sementara itu, renjer perhilitan, Sally Heaton berkata, ular itu bukan spesies berbisa tetapi ia mampu membesar hingga 1.5 meter. - DM

No comments: